DAP Kekal Berprinsip Dalam Perjuangan, Hormat Perjuangan Parti Lain

whatsapp image 2025 05 13 at 10.44.50 am
  1. Saya terpanggil untuk memberi respons terhadap kenyataan Datuk Mustapha Yaakub, Setiausaha Veteran UMNO seperti yang dilaporkan dalam media bahawa DAP ‘semakin jinak’ selepas bekerjasama dengan UMNO.

 

  1. Saya ingin menegaskan bahawa DAP adalah sebuah parti yang sudah 59 tahun tertubuh dan melibatkan diri dalam politik tanahair. Sepanjang penubuhannya, DAP kekal berprinsip dan konsisten dalam perjuangannya untuk membina Malaysia yang lebih baik buat rakyat Malaysia.

 

  1. Perjuangan DAP ini tidak pernah bercanggah dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Malahan, sudah berkali-kali dinyatakan bahawa DAP menghormati dan menjunjung perkara-perkara asas dalam Perlembagaan, termasuklah kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak, Islam sebagai agama Persekutuan, demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan.

 

  1. Pada masa yang sama, DAP juga memperjuangkan hak dan kepentingan sah kaum dan komuniti lain dalam negara, serta hak sivil dan politik rakyat Malaysia yang juga terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

  1. Dalam sejarah DAP, kami telah menjalinkan kerjasama politik dengan pelbagai parti. Dalam setiap kerjasama tersebut, DAP kekal berpegang teguh kepada apa yang kami perjuangkan selama ini, kerana ia selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

  1. Kami menghormati perjuangan rakan dalam gagasan, dan kami juga menuntut supaya perjuangan kami dihormati. Kami tidak pernah menunggang mana-mana rakan gagasan, dan kami juga tidak akan ditunggang oleh mana-mana rakan gagasan.

 

  1. Atas kesedaran ini, dalam semua kerjasama yang DAP jalinkan, kami berpegang pada prinsip saling menghormati di antara parti-parti dalam gagasan politik.

 

  1. Sudah tentu ada jalur-jalur perbezaan di antara parti-parti yang berada dalam Kerajaan MADANI. Itulah lumrah demokrasi. Apa yang penting adalah dalam perbezaan yang ada, terdapat banyak titik persamaan dan perkara-perkara asas yang dipersetujui. Persefahaman inilah yang menjadi batu asas kepada kerjasama yang berpanjangan dan dapat merangkul kekuatan semua parti-parti yang ada dalam Kerajaan MADANI.

 

Syahredzan Johan

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP

Recommended Posts