
Kenyataan Media oleh Pengarah Dasar DAP, Datuk Chan Foong Hin
6 Januari 2026
- Saya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam amanat tahun baharunya yang menggariskan pakej reformasi penting dan inisiatif-inisiatif berteraskan rakyat. Perutusan tersebut mengukuhkan iltizam Kerajaan MADANI terhadap tatakelola yang baik dan memantapkan struktur negara bagi memastikan kemakmuran inklusif buat seluruh rakyat Malaysia.
- Antara cadangan reformasi institusi penting yang diumumkan termasuk pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pengenalan Akta Kebebasan Maklumat, dan penubuhan Institusi Ombudsman. Dilihat bersama pembaharuan yang telah berjaya dilaksanakan sebelum ini – seperti Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang memulihkan kebebasan dan martabat institusi Parlimen – inisiatif-inisiatif ini mencerminkan kesungguhan untuk membina semula keyakinan awam serta memastikan tadbir urus Malaysia dilaksanakan dengan berintegriti, penuh akauntabiliti, dan berlandaskan kerangka institusi demokratik.
- Dari sudut ekonomi pula, prestasi cemerlang kerajaan sepanjang tiga tahun lalu terserlah berdasarkan penanda aras utama yang positif, lantas meletakkan negara di kedudukan lebih stabil bagi pemulihan dan pemacuan pertumbuhan. Indikator ini termasuk pengukuhan ketara nilai ringgit Malaysia sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia pada tahun 2025, yang mencerminkan keyakinan pelabur kembali pulih serta asas ekonomi yang semakin kukuh.
- Pada masa yang sama, Kerajaan MADANI sedar bahawa kemakmuran di peringkat makro tidak semestinya dirasai secara langsung oleh setiap lapisan masyarakat. Reformasi dan penyesuaian ekonomi laizmnya mewujudkan tekanan peralihan, dan kebimbangan yang disuarakan oleh rakyat — terutamanya berkaitan kos sara hidup — perlu ditangani dengan penuh kepekaan dan keperihatinan. Reformasi mestilah bersifat inklusif dan tidak meminggirkan mana-mana golongan. Oleh itu, penambahbaikan dasar yang berterusan serta intervensi bersasar adalah amat diperlukan.
- Dalam konteks ini, langkah-langkah sokongan yang diumum Perdana Menteri mencerminkan komitmen teguh kerajaan untuk memastikan kemajuan ekonomi memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat. Antaranya ialah peruntukan RM130 juta bagi menaik taraf sekolah vernakular, pelaksanaan pembayaran Fasa 1 Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bermula 20 Januari, pelaksanaan berperingkat Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sehingga RM200 setiap bulan bermula 9 Januari, serta pemberian kredit RM100 secara sekali bayar kepada setiap warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas pada 9 Februari.
- Selain itu, penerusan program Jualan Rahmah MADANI, yang akan diadakan tiga kali sebulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri, pemberian Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 bagi setiap anak yang bersekolah, serta pengurangan Cukai Perkhidmatan ke atas sewaan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana daripada 8% kepada 6%, mencerminkan pendekatan yang jelas dan praktikal dalam menangani kos sara hidup sambil menyokong keluarga dan perusahaan kecil.
- Saya juga menyambut baik komitmen Perdana Menteri untuk kerajaan meminda Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal. Cadangan ini mencerminkan agenda reformasi yang termaktub dalam Tawaran HARAPAN pada PRU15. Reformasi perlembagaan yang penting ini berfungsi sebagai benteng bagi mengelakkan penumpuan kuasa yang berlebihan serta memperkukuh akauntabiliti demokrasi di peringkat tertinggi kepimpinan negara. Sokongan berterusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap cadangan ini menandakan komitmen yang kukuh terhadap reformasi institusi dan prinsip demokrasi.
- Sepanjang tempoh tiga tahun ini, Kerajaan MADANI telah melaksanakan rundingan yang intensif, libat urus merentas kementerian, serta semakan menyeluruh pertengahan penggal bagi memastikan reformasi disusun mengikut keutamaan, didorong kesepakatan, dan dilaksanakan dengan berkesan.
- Reformasi tidak terjadi dalam sekelip mata. Ia memerlukan kesabaran, kestabilan, dan kecekalan dalam meneruskan perjuangan. Setelah tiga tahun membina semula keyakinan, memulihkan fungsi institusi, dan meletakkan asas yang kukuh, Malaysia kini berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengorak langkah dengan penuh keyakinan dan hala tuju yang jelas.
- DAP kekal komited sepenuhnya terhadap agenda reformasi ini. Saya menyeru semua Ahli Parlimen dan pemegang taruh agar mengetepikan perbezaan kepartian dan bekerjasama untuk memastikan reformasi ini dilaksanakan dengan berkesan, jujur dan dengan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat serta masa depan negara.



