DAP Kutuk Tindakan Keganasan Politik Terhadap Keluarga Saudara Rafizi Ramli

whatsapp image 2025 08 14 at 11.25.22

Saya, Khoo Poay Tiong selaku Ketua Whip Parlimen DAP, mewakili seluruh Ahli Parlimen DAP, ingin menyampaikan rasa simpati yang mendalam kepada Saudara Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan, atas insiden serangan terhadap anak beliau yang berlaku pada petang semalam di salah sebuah pusat membeli-belah di Putrajaya.

Kami mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan politik, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan ahli keluarga.

Tindakan ini adalah satu bentuk serangan yang pengecut, kejam, dan tidak boleh diterima dalam mana-mana masyarakat yang bertamadun.

Kami menyeru pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan segera dan menjalankan siasatan secara telus, menyeluruh, dan bebas bagi membawa pelaku ke muka pengadilan.

Pada masa yang sama, kami mendesak pihak polis untuk mempercepatkan proses siasatan, mengenal pasti suspek dalam kadar segera, memaklumkan perkembangan kepada orang awam secara berkala, serta melaksanakan langkah pencegahan bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.

Tiada sesiapa pun, termasuk ahli politik dan keluarga mereka, patut menjadi sasaran ugutan atau serangan fizikal kerana pendirian politik yang diambil.

DAP berdiri teguh bersama Saudara Rafizi Ramli dalam menghadapi cabaran ini. Kami mendoakan agar beliau dan keluarga diberikan kekuatan, ketenangan, dan perlindungan daripada sebarang ancaman susulan.

Kepada semua pihak, saya menyeru agar kita bersama-sama menolak budaya politik ganas, memelihara demokrasi, dan memastikan perbezaan pandangan diselesaikan melalui saluran yang sah, aman, dan beradab.

Khoo Poay Tiong

Ketua Whip Parlimen DAP

Recommended Posts