DAP sahut seruan Dr Mahathir: Hentikan kempen boikot cetusan NGO pro-UMNO-PAS

DAP kesal dengan keengganan PAS dan UMNO untuk menolak dan mengkritik kempen boikot barangan orang bukan Islam atau orang bukan bumiputera yang dikelolakan oleh kumpulan NGO yang rasis dan ekstremis agama dan dilihat sebagai cenderung pembangkang. Kempen boikot barangan orang bukan Islam/bukan bumiputera ini tidak waras dan tidak wajar kerana ia bakal menjejaskan perpaduan rakyat dan negara serta merugikan kepentingan pengguna dalam mendapatkan harga dan mutu kualiti yang terbaik.

Malah, keengganan PAS dan UMNO untuk menolak dan mengkritik kempen boikot barangan orang bukan Islam/bukan bumiputera bertentangan dengan pendirian tegas YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menganggap kempen boikot ini dijalankan oleh mereka yang berfikiran cetek, dan harus dihentikan agar tidak mencetuskan kemarahan.

Adakah keengganan PAS dan UMNO untuk menolak dan mengkritik kempen boikot ini berkait dengan kenyataan seorang ulama PAS yang menyokong kempen boikot ini? Bekas Timbalan Ketua Ulama PAS Selangor, Ahmad Dusuki Abdul Rani, telah menyatakan usaha memboikot barangan orang bukan Islam itu baik daripada segi agama dan “menambah pahala”, berdasarkan sebuah laporan Malaysiakini pada 30hb Ogos 2019.

Sokongan ulama PAS ke atas kempen boikot ini dengan menggunakan istilah “menambah pahala” sekaligus menunjukkan pendirian pemimpin dan ulama parti pembangkang yang terbabit dalam permainan politik berbahaya yang berkitar pada perkauman dan ekstremisme agama. Malangnya pemimpin pembangkang rela memperjudikan keharmonian rakyat dan kesejahteraan negara yang dinikmati selama ini.

DAP yakin rakyat Malaysia tidak membenci di antara satu sama lain, atau mahukan perpecahan. Agama juga tidak mengajar kita marah, boikot-memboikot dan benci semata-mata kerana berbeza kaum atau bangsa, hanya parti pembangkang. Oleh itu, DAP ingin menyahut seruan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghentikan kempen boikot barangan bukan Islam/bukan bumiputera agar tidak mencetuskan kemarahan.

Sukar difahami mengapa bila saya menggesa UMNO dan PAS menolak kempen boikot ini supaya menunjukkan kedua-dua parti tidak ada sikap anti bukan Melayu/bukan Islam, saya pula dilabelkan rasis oleh PAS. DAP akan serahkan kepada rakyat untuk menentukan siapa yang benar dan batil dalam kempen boikot barangan bukan Islam/bukan bumiputera ini. – Roketkini.com

*KENYATAAN AKHBAR SETIAUSAHA AGUNG DAP DAN AHLI PARLIMEN BAGAN LIM GUAN ENG DI KUALA LUMPUR PADA 3.9.3019

Recommended Posts