
1. Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Parti Tindakan Demokratik (DAP) baru-baru ini telah mengadakan perbincangan berkenaan beberapa perkara penting berkaitan kepentingan negara.
2. DAP berpendirian bahawa tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, yang dijadualkan bersara masing-masing pada hari ini dan esok, wajar disambung selama enam bulan lagi selaras dengan Perlembagaan Persekutuan memandangkan mereka telah melaksanakan tugas dengan cemerlang dan penuh integriti.
3. Walaupun lanjutan seperti ini bukan satu hak yang automatik, kami mengambil maklum bahawa terdapat lanjutan diberikan kepada hakim-hakim kanan terdahulu selepas persaraan wajib mereka, dan kami tidak melihat sebarang sebab mengapa perkara yang sama tidak boleh diterapkan kepada Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan pada masa ini.
4. Harus ditekankan bahawa sokongan DAP terhadap lanjutan perkhidmatan hakim-hakim tersebut bukanlah bertujuan untuk mempolitikkan isu ini, sebaliknya merupakan satu pengiktirafan tulen terhadap sumbangan mereka dalam pembangunan dan pembaharuan institusi Kehakiman, yang merupakan salah satu keutamaan kerajaan Madani.
5. Berdasarkan sumbangan dan prestasi mereka, kami berpendapat bahawa lanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan akan memperkukuh komitmen kerajaan terhadap penambahbaikan pentadbiran keadilan dan institusi Kehakiman, dengan penekanan kepada pengiktirafan terhadap merit sebagai kriteria utama dalam pelantikan hakim serta lanjutan tempoh perkhidmatan mereka.
6. Kami turut mengambil maklum bahawa akan berlaku banyak kekosongan dalam Mahkamah Persekutuan susulan persaraan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang telah dan bakal berlaku, sekali gus menjadikan keperluan untuk mengekalkan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan sedia ada sebagai langkah penting bagi memastikan proses peralihan pelantikan baharu ke Mahkamah Persekutuan berjalan dengan lancar.
7. Keyakinan orang ramai terhadap institusi Kehakiman adalah amat penting, dan kami sekali lagi menegaskan bahawa lanjutan tempoh perkhidmatan hakim-hakim tersebut adalah selaras dengan agenda reformasi kerajaan Madani.
Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC)
Parti Tindakan Demokratik (DAP)