![476349674 1038517224987571 616266960665599934 n](https://dapmalaysia.org/wordpress/wp-content/uploads/2025/02/476349674_1038517224987571_616266960665599934_n.jpg)
1. DAPSY Kebangsaan mengalu-alukan keputusan Jemaah Menteri semalam untuk tidak meneruskan Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Perayaan dan Kunjungan Ke Rumah Ibadat Selain Islam di negara kita. Keputusan ini adalah langkah yang bijaksana demi mengekalkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
2. DAPSY juga menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang tidak bersetuju dengan cadangan pengemukaan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam. Titah baginda adalah contoh kebijaksanaan institusi diraja dalam menjaga keharmonian agama dan hubungan antara kaum di negara kita.
3. Nasihat DAPSY Kebangsaan kepada Akmal Saleh selaku Ketua Pemuda UMNO yang juga merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan – berhentilah daripada meneruskan polemik tersebut.
4. Isu ini telahpun diputuskan dalam mesyuarat kabinet yang turut melibatkan semua Menteri UMNO. Sebagai seorang ahli kerajaan dan ahli UMNO, Akmal seharusnya akur kepada keputusan tersebut dan menghormati konsensus yang telah dicapai.
5. Cukup-cukuplah berlagak sebagai ‘hero’ yang seolah-olah anti Kerajaan Perpaduan atau anti Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Negara ini tidak memerlukan ‘hero’ yang cuba merosakkan perpaduan nasional atau menolak segala cadangan baik daripada kerajaan.
6. Akmal sepatutnya berpolitik dengan lebih matang, berhemah, dan profesional dan bukan menjadikan setiap isu sebagai isu perkauman dan keagamaan.
7. Tidak ada keperluan untuk bersaing dengan Perikatan Nasional, khususnya PAS, dalam menjadi ‘hero’ agama yang konservatif.
8. DAPSY ingin menegaskan bahawa isu garis panduan ini bukan soal campur tangan golongan bukan Islam dalam hal ehwal agama Islam. Ini adalah persepsi dan tanggapan yang tidak betul.
9. Hal ini demikian kerana garis panduan tersebut berpotensi menyulitkan dan menyusahkan pihak penganjur bukan Islam yang ingin menjemput rakan-rakan Muslim untuk sama-sama menyertai majlis perayaan dengan niat yang baik dan hati yang terbuka. Dengan wujudnya karenah birokrasi yang rumit, setentunya ini akan menjadikan pihak penganjur untuk tidak mengundang masyarakat Muslim dan sekali gus menjejaskan interaksi antara kaum pada masa depan dan ini tidak akan bermanfaat kepada perkembangan masyarakat berbilang kaum di negara kita.
10. Tindakan Akmal seolah-olah sedang mempertikaikan dasar Kerajaan Barisan Nasional yang terdahulu khususnya dari tahun kemerdekaan sehinggalah tahun 2018 lantaran tuntutan DAPSY untuk mengekalkan status quo adalah bersamaan dengan pendekatan yang telah diamalkan oleh Kerajaan BN selama 60 tahun.
11. Kekalkan status quo adalah jalan terbaik untuk memastikan negara kita terus mara ke depan tanpa terbeban dengan pertikaian dan perselisihan faham yang tidak bermakna. Mana-mana ahli politik yang terus memperbesarkan isu ini sebenarnya hanya mempunyai satu niat, iaitu untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
12. Nasihat terakhir untuk Akmal yang merupakan Ketua Pemuda UMNO, jangan bersikap lebih “Ketua Pemuda Perikatan Nasional” daripada Ketua Pemuda PN sendiri. Sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memelihara keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum negara kita.
13. Kalau masih ingin bertindak seolah-olah sebagai ejen Perikatan Nasional, lebih baik Akmal letak jawatan dan menyertai PAS daripada terus menjadi musuh dalam selimut dalam kalangan kerajaan perpaduan.
14. Ketenteraman, perpaduan, dan keharmonian antara kaum adalah yang paling diperlukan oleh negara kita pada saat ini. Enough is enough. Tidak perlu lagi pertengkaran yang tidak membawa sebarang manfaat. Let’s move on.
Ketua DAPSY Kebangsaan
YB Woo Kah Leong