
1. DAPSY Kebangsaan menyeru semua parti komponen Kerajaan Perpaduan untuk memenangkan calon kerajaan perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning demi mempertahankan perpaduan dan kepelbagaian budaya serta menjamin kestabilan politik dan kemakmuran negeri.
2. Ketua DAPSY Kebangsaan merangkap EXCO Kerajaan Negeri Perak, YB Woo Kah Leong telah menegaskan kepentingan untuk kerajaan perpaduan mengekalkan kerusi tersebut dan maka seluruh jentera DAPSY akan digerakkan sepenuhnya untuk membantu dalam menjamin kemenangan calon Kerajaan Perpaduan.
3. PRK ini bukan sekadar tentang satu kerusi DUN sahaja tetapi juga merupakan medan pertempuran penting untuk mempertahankan kestabilan politik, meneruskan agenda pembangunan yang dibawa kerajaan kini, dan juga medan terbaik untuk menolak politik ekstrem yang dibawa oleh PN.
4. Selama ini, PN tidak membawa apa-apa nilai progresif atau cadangan konstruktif kepada rakyat, sebaliknya terus bergantung kepada politik kebencian dan memainkan sentimen perkauman dan keagamaan sempit untuk memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum.
5. Oleh itu, kemenangan calon Kerajaan Perpaduan di Ayer Kuning adalah penting untuk menghalang agenda ekstrem PN daripada menular di Perak.
6. Malaysia dibina atas semangat perpaduan antara kaum yang telah terjalin sejak sekian lama. Namun, PN khususnya PAS telah berulang kali membuktikan bahawa mereka tidak menghormati kepelbagaian budaya, malahan tidak berhenti untuk menggunakan naratif yang bahaya termasuk fitnah bertubi-tubi untuk merosakkan perpaduan negara.
7. Usaha untuk memenangi kerusi Ayer Kuning bukan sahaja penting untuk negeri Perak, tetapi juga sebagai isyarat jelas bahawa rakyat Malaysia menolak politik toksik dan ekstrem demi mempertahankan perpaduan masyarakat majmuk dan kepelbagaian budaya di Perak dan seluruh Malaysia.
Ho Chi Yang
Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan merangkap ADUN Tanah Rata