
1. DAPSY Malaysia mengecam keras Presiden MCA Wee Ka Siong kerana memilih untuk berdiam diri secara selektif ketika Ketua Pemuda UMNO Akmal Saleh dengan sengaja mengapi-apikan isu Jalur Gemilang terbalik. Namun, selepas beberapa hari, Wee tiba-tiba muncul dan mengeluarkan kenyataan media yang mengalihkan serangan dan tuduhan kepada DAP.
2. DAPSY menegaskan bahawa kronologi isu bendera ini jelas sekali menunjukkan bahawa pencetus utamanya adalah tidak lain tidak bukan Akmal Saleh, yang berasal dari gabungan politik yang sama dengan MCA. Akmal telah memanipulasi insiden bendera terbalik untuk mencetus kebencian dengan kenyataan ekstrem, malah mengugut untuk mengunjungi Pulau Pinang bagi “mengajar” peniaga tentang cara mengibarkan bendera dengan betul.
3. DAPSY dan DAP Malaysia secara tegas dan terbuka mengecam kenyataan ekstrem Akmal yang merosakkan keharmonian masyarakat majmuk, serta tetap mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang negara. DAPSY menekankan bahawa kelakuan samseng yang mengugut rakyat dan seolah-olah mencabar sistem kehakiman tidak boleh dibiarkan berulang.
4. Sebaliknya, Presiden MCA Wee Ka Siong bukan sahaja gagal mengecam Akmal sejak kontroversi berlaku, malah kini cuba mengambil peluang untuk menyerang DAP pula. Ini jelas menunjukkan bahawa Wee bukan sahaja ingin melarikan diri daripada tanggungjawab politik, tetapi juga menunjukkan sikap dwi standard dan hipokrit yang ketara.
5. Sekiranya Wee Ka Siong benar-benar mementingkan soal keharmonian dan perpaduan negara, beliau sepatutnya berdiri bersama rakyat Malaysia untuk menentang retorik dan politik ekstrem, khususnya dengan mengkritik terus tindakan provokatif Akmal sejak awal. Bukannya berdiam diri beberapa hari, kemudian baru mengkritik DAP demi meraih keuntungan politik murahan.
6. DAPSY menegaskan bahawa adalah tanggungjawab bersama semua parti politik untuk menghormati kedaulatan undang-undang dan menolak politik ekstrem. Parti yang benar-benar berprinsip akan tampil segera untuk menolak retorik ekstrem, mempertahankan keharmonian sosial dan perpaduan negara, bukannya mengeluarkan kenyataan politik yang kabur dan bersikap hipokrit dengan menyalahkan kedua-dua pihak selepas isu berlarutan.
7. DAPSY menggesa MCA supaya memikul tanggungjawab politik, menghentikan dwi standard terhadap retorik ekstrem, dan tidak cuba mengalihkan perhatian daripada tindakan provokatif Akmal yang merosakkan perpaduan. Rakyat mahukan pendirian politik yang jelas, tegas, dan konsisten, bukannya sandiwara politik murahan.
DAPSY Kebangsaan
12 Ogos 2025