
Pasar Besar Teluk Intan telah mempunyai papan tanda tiga bahasa sejak tahun 2019 dan tidak pernah ada isunya biarpun pasar tersebut selalu dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat, dan pasar tersebut antaranya yang paling sibuk menjelang seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Sewaktu saya memegang Ketua Whip Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan pada tahun 2019, saya telah mengutarakan cadangan meletakkan tiga bahasa untuk papan tanda Pasar Besar Teluk Intan, kesemua Ahli Majlis termasuknya yang telah bersama dengan Perikatan Nasional kini pun bersetuju pada ketika itu.
Selepas Teluk Intan, pun disusuli usaha sedemikian di Ipoh dan Taiping, semuanya mengetengahkan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan dirangkumi bahasa lain. Sama dengan Pasar Ayer Tawar sekarang.
Yang peliknya kini ada Ahli Parlimen PN pula yang sibuk mempersoalkan dan menjadikan Pasar Ayer Tawar yang berbuat demikian sebagai isu walhal tidak pernah hilangnya kewujudan Bahasa Melayu dalam pada itu.
Saya yakin semua parti politik Malaysia adalah menjunjung Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tidak pernah ada pertikaian berkenaannya.
Sekiranya ada yang tidak berbuat demikian, nescaya sudah lama diharamkan pihak berkuasa.
Kami tidak akan mempertikaikan tindakan pihak yang meletakkan bahasa Cina di Dataran Cheng Ho, Kelantan atau mempersoalkan sama ada itu adalah polisi kerajaan atau tidak lantaran kesemua kami adalah insan yang mempunyai akal budi (common sense) dan memahami negara Malaysia adalah negara majmuk dan perlunya sama-sama meraikan kepelbagaian.
Adalah sangat berniat jahat untuk ahli politik untuk memainkan isu sedemikian dan mencuba sedaya upaya untuk memesongkan bahawa kementerian yang ditunjangi kerajaan perpaduan adalah mengetepikan bahasa kebangsaan padahal ini adalah tidak benar sekali.
Nasihat saya, berpolitik biarlah dengan cara betul & murni, jangan disebabkan nak raih populariti dan dapatkan publisiti murahan dan natijahnya gadaikan kekuatan kemajmukan negara.
Jangan lupa bahawa anda pernah sama-sama setuju dengan prinsip kepelbagaian waktu bersama dalam Pakatan Rakyat, stop being double standard.
Ketua DAPSY Kebangsaan
YB Woo Kah Leong