DAPSY Komited Bersama AMH dalam Memperjuangkan Pemansuhan AUKU

485077322 582874801465160 7773169922666673907 n

1. Angkatan Mahasiswa HARAPAN (AMH) telah mengadakan Pemukiman Khas AMH pada hari Isnin yang lalu bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan anak muda. Dalam sesi ini, AMH telah mencapai kesepakatan bahawa pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta akta-akta berkaitan merupakan antara agenda paling utama dalam perjuangan mahasiswa.

2. Sebagai Pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan, saya menyambut baik ketetapan ini dan menegaskan bahawa DAPSY akan terus memberikan sokongan penuh dalam usaha pemansuhan AUKU. DAPSY juga akan bekerjasama erat dengan semua sayap pemuda dalam AMH bagi memastikan perjuangan ini direalisasikan dengan berkesan.

3. AMH berpandangan bahawa sejak penggubalannya, AUKU adalah sebuah akta yang menekan dan menindas mahasiswa. Akta zalim ini bukan sahaja menyekat kebebasan akademik dan menafikan autonomi universiti, malah ia juga telah menekan gerakan mahasiswa yang berani bersuara serta menjejaskan pembangunan pendidikan tinggi negara.

4. Menyedari kepentingan perjuangan ini, AMH telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Pemansuhan AUKU bagi menyelaras usaha dan gerak kerja semua sayap pemuda AMH dalam memastikan pemansuhan AUKU dapat direalisasikan sepenuhnya.

5. AMH turut berpendapat bahawa pindaan yang dilakukan sebelum ini jauh daripada mencukupi, dan oleh itu, usaha ke arah pemansuhan sepenuhnya perlu diteruskan sebagai komitmen Kerajaan MADANI dalam melaksanakan reformasi sebenar.

6. Jawatankuasa ini juga akan turun padang untuk bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk gerakan mahasiswa, Kesatuan Mahasiswa, Majlis Perwakilan Pelajar, serta tokoh akademik. Pandangan mereka akan digabungkan dan dijadikan asas bagi membentuk satu dasar pendidikan tinggi yang lebih adil, inklusif, dan progresif.

7. AMH percaya bahawa pemansuhan AUKU bukan sekadar memperjuangkan kebebasan mahasiswa, tetapi juga membawa makna keadilan transisi (transitional justice) kepada semua yang pernah menjadi mangsa akta zalim ini. Hanya dengan reformasi menyeluruh, kita dapat memastikan universiti di Malaysia benar-benar menjadi pusat ilmu yang bebas, terbuka, demokratik, dan adil.

Koh Ling Xian
Pengarah Hal Ehwal Varsiti
DAPSY Kebangsaan

Recommended Posts