
1. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Veteran UMNO Mustapha Yaakub yang bertujuan menyangkal naratif PAS tetapi memperlekehkan DAP bukan sahaja tidak membantu, malahan tidak bertanggungjawab dan berisiko mengeruhkan suasana politik yang sedang menuju ke arah kestabilan melalui inisiatif Kerajaan Perpaduan.
2. Naratif PAS yang sering berunsur fitnah dan perkauman perlu dikecam, namun biarlah perbincangan itu berteraskan fakta dan pencapaian Kerajaan Perpaduan yang cemerlang dalam membina semula negara. Anggota-anggota Kerajaan Perpaduan perlu membawa naratif yang matang dan membina, bukan retorik lapuk yang bersifat provokatif serta berunsur perpecahan.
3. Sejak penubuhan parti, DAP sentiasa berpegang teguh kepada prinsip dan nilai-nilai teras seperti demokrasi, kebebasan, keadilan sosial dan kepelbagaian budaya. DAP komited untuk mempertahankan hak dan kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
4. DAP kekal konsisten dalam menyatakan pendirian serta lantang bersuara dan membidas segala kenyataan songsang dan tindakan yang bersifat ekstrem dan memecah-belahkan masyarakat. Ini termasuklah mana-mana individu, sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang, yang cuba memainkan sentimen perkauman dan memudaratkan perpaduan masyarakat demi kepentingan politik sempit.
5. Contohnya, apabila terdapatnya cadangan untuk mewujudkan garis panduan bagi menghadiri majlis rumah ibadat bukan Islam, DAP dengan tegasnya membantah pelaksanaan garis panduan tersebut atas sebab garis panduan sebegini akan membawa implikasi yang besar kepada pihak penganjur Bukan Muslim yang hanya berhasrat meraikan perayaan bersama dengan semua kaum. Hakikatnya, rakyat berbilang kaum sememangnya telahpun biasa degan amalan kunjung-mengunjungi dan meraikan perayaan semua kaum sejak dahulu.
6. Maka, DAPSY menyeru semua pihak untuk berhenti memainkan politik kebencian dan memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi, meningkatkan kebajikan rakyat dan memperkukuh perpaduan rakyat. Inilah yang seharusnya menjadi fokus utama semua pihak hari ini, bukan lagi retorik “menjinakkan” yang melampau dan tidak membantu dalam menjanakan hubungan antara anggota-anggota Kerajaan Perpaduan.
Ho Chi Yang
Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan merangkap ADUN Tanah Rata