Ketika Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman secara bersahaja berkongsi pautan ke laman web borang DAP lebih satu bulan lalu, beliau tentunya langsung tidak menyangka akan mencetuskan minat ratusan anak muda menyatakan minat untuk menyertai parti dalam jangka masa 24 jam sahaja.
Ciapan tersebut ternyata telah ‘pergi jauh’ dan menjentik minat anak muda Melayu terutamanya, yang bertindak mengisi borang tersebut secara berbondong-bondong.
Selesai pertemuan pertama bersama sekumpulan anggota baharu tersebut di Lembah Klang, Setiausaha Publisiti Kebangsaan, Teo Nie Ching mengumumkan kelahiran semula Sekolah Demokrasi, yang dahulunya menjadi wadah pendidikan politik parti untuk menarik minat anak muda.
Menyahut cabaran terbabit, Pemuda DAP (DAPSY) bingkas menyusun dan memulakan inisiatif terbabit, yang kini diberi nama Maktab Politik.
Diuruskan oleh mantan ADN Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof; Maktab Politik merupakan usaha DAPSY untuk menawarkan pendidikan politik khas buat ahli yang baru menyertai parti atau mereka yang berminat dengan cara kerja DAP.
“Dalam waktu warga kita sangat memerlukan pendidikan politik melangkaui retorik, serta mahukan kejelasan antara teori dan praktik, harapnya Maktab Politik dapat menawarkan pencerahan itu,” ujarnya ketika dihubungi.
“Selain program utama, Maktab akan memperbanyakkan program pendek dengan turun ke kawasan-kawasan yang mahukan khidmat kami,” jelasnya yang sebelum ini merupakan koordinator merangkap Pengetua Sekolah Demokrasi.
Maktab pertama yang berlangsung hujung minggu lalu berjaya menarik minat anak muda, yang disajikan dengan sessi perkongsian berkenaan demokrasi sosial, pengenalan mengenai kerajaan tempatan, debat ala Parlimen serta perkongsian khas bersama Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.