
1. DAPSY Kebangsaan menyelar sikap hipokrasi dan dwi standard yang jelas ditunjukkan oleh Ketua Pemuda UMNO Akmal Saleh berhubung isu kesilapan grafik Jalur Gemilang yang dimuat naik oleh Pemuda UMNO Terengganu.
2. Ketika rakyat biasa seperti kakitangan sekolah dan pemilik kedai melakukan kesilapan, Akmal Saleh berlagak hero dan menyebarkan retorik berbaur konfrontasi. Namun, apabila kesilapan serupa dilakukan oleh Pemuda UMNO Terengganu di bawah pimpinannya, iaitu memuat naik grafik Jalur Gemilang dengan hanya 12 jalur, beliau terus menafikan tanggungjawab dan hanya menuding jari kepada individu yang membuat poster tersebut.
3. DAPSY mengecam sikap hipokrit dan dwi standard yang ditunjukkan oleh Akmal Saleh kerana ia memberi gambaran bahawa Pemuda UMNO seolah-olahnya kebal dari tanggungjawab, meskipun membuat kesilapan berhubung bendera.
4. Jika kesalahan yang dilakukan oleh rakyat biasa boleh menimbulkan kemarahan dan tindakan langsung seperti turun padang dan mengajar cara memasang bendera, mengapakah Dr. Akmal tidak kelihatan sama ketika kesilapan berlaku dalam kalangan pihaknya sendiri? Di mana lawatan dan kelas pengajaran cara yang betul?
5. DAPSY berpendapat bahawa tindakan sedemikian menunjukkan bahawa Akmal Saleh membenarkan layanan dua darjat antara masyarakat umum dan ahli parti sendiri.
6. Pada masa yang sama, Akmal Saleh juga harus sedar bahawa bendera adalah simbol kedaulatan sesebuah negara. Perilaku seperti mengangkat bendera negara lain secarta terbalik, biarpun bukan Jalur Gemilang, tidak sepatutnya diulangi demi menghormati rakyat dan kedaulatan negara berkenaan.
7. Bumi yang mana tidak ditimpa hujan. Tiada insan yang terlepas dari melakukan kesilapan. DAPSY menyeru agar Akmal lebih berhemah, menghentikan hipokrasi dan dwi standard, serta tidak memupuk budaya politik konfrontasi yang mencetuskan kebencian. Sebaiknya cermin diri sendiri dan muhasabah diri terlebih dahulu sebelum mengecam orang lain.
8. DAPSY menyeru semua pihak termasuk Akmal Saleh untuk menghentikan politik kebencian yang hanya menjahanamkan perpaduan dan memecahbelahkan masyarakay majmuk. Bersama-samalah kita menjadi teladan kepada masyarakat berbilang kaum demi membina negara yang lebih progresif dan maju berlandaskan kedaulatan undang-undang, bukan keadilan samseng (mob justice).
DAPSY Kebangsaan
12 Ogos 2025