1. DAPSY tidak bersetuju dengan pelaksanaan Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Sambutan Perayaan Dan Upacara Kematian Orang Selain Islam Serta Kunjungan Dan Penganjuran Majlis Di Rumah Ibadat Selain Islam dan menyeru pihak berkenaan untuk mengekalkan status quo bagi perihal tersebut.
2. Panduan seperti ini yang secara tidak langsung menyekat usaha pemahaman antara satu sama lain hanya akan menatijahkan jurang yang lebih besar antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim di negara ini.
3. Sejak kemerdekaan, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, kaum dan budaya tidak pernah timbulnya apa-apa isu ekoran kehadiran dan penglibatan kaum mana-mana pun dalam perayaan dan upacara sebegini.
4. DAPSY percaya bahawa rakyat Malaysia, sama ada Muslim atau bukan Muslim, mempunyai kebijaksanaan dan kematangan untuk berinteraksi secara harmoni tanpa perlu campur tangan berbentuk garis panduan tambahan daripada mana-mana pihak berkuasa.
5. Selama ini, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat sering hadir dalam majlis perayaan pelbagai kaum dan tujuannya bukan untuk beribadah tetapi untuk berdialog dengan komuniti masyarakat yang berbeza demi mengukuhkan perpaduan nasional.
6. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pernah berkenan berangkat merasmikan serta menyaksikan Festival Perarakan Chingay di Johor.
7. Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj akan berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor di Tokong Fo Guang Shan Dong Zen untuk meraikan Tahun Baru Cina bersama rakyat Selangor pada 8 Februari yang akan datang.
8. Kebijaksanaan, keterbukaan dan kesederhanaan oleh KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Sultan Selangor telah membuktikan bahawa model hubungan antara Muslim dan bukan Muslim kini adalah harmoni dan tepat. Dengan menggunapakaikan acuan dan contoh yang ditunjukkan Duli Yang Maha Mulia Sultan, rakyat pelbagai kaum dan agama telah lama menyambut perayaan masing-masing dengan sikap terbuka dan penuh rasa hormat tanpa menimbulkan sebarang konflik.
9. Keberlangsungan program-program tersebut yang berlangsung di rumah ibadat bukan Islam bukan sahaja tidak menggugat kepercayaan agama mana-mana pihak, malah menunjukkan nilai keharmonian dan kebersamaan dalam kalangan rakyat yang memiliki latar belakang yang heterogen.
10. DAPSY menegaskan bahawa garis panduan seperti ini tidak diperlukan kerana hanya akan menambahkan karenah birokrasi yang membebankan penganjur yang ikhlas dalam mengadakan aktiviti kebudayaan dan perpaduan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat pelbagai bangsa dan agama.
11. Pelaksanaan garis panduan sedemikian akan mengurangkan peluang bagi masyarakat yang berasal dariapda latar belakang yang berbeza untuk saling memahami budaya antara satu sama lain, sekali gus menjarakkan hubungan antara pelbagai kaum di Malaysia.
12. DAPSY dengan tegasnya menyeru pihak berkenaan untuk mengekalkan status quo dan membatalkan pelaksanaan garis panduan tersebut.
13. Sebaliknya lebih banyak program kebudayaan yang melibatkan pelbagai kaum dan agama perlu dianjurkan bagi menggalakkan rakyat memahami serta menghormati perbezaan budaya masing-masing. Melalui interaksi yang terbuka dan ikhlas, barulah hubungan silaturahim antara masyarakat dapat terus diperkukuhkan demi menjamin keharmonian serta perpaduan negara.
14. Intiha, DAPSY menegaskan bahawa tidak ada keperluan untuk memperkenalkan garis panduan baru. Peraturan undang-undang sedia ada, protokol serta persefahaman sosial yang telah terbentuk selama ini sudah memadai untuk mengekalkan interaksi yang baik antara masyarakat berbilang kaum dan agama.
Ketua DAPSY Kebangsaan
YB Woo Kah Leong