Perjuangan DAP berbeza dengan UMNO: Datuk Mohd Ariff – Bahagian 2

SEMAKIN ramai orang Melayu mula membenci UMNO kerana perjuangan parti itu bukan bermatlamat membela nasib Melayu, sebaliknya mereka yang menyertai parti itu lebih mementingkan kebendaan dan kepentingan peribadi.

Ikuti wawancara wartawan Roketkini.com, Hafiz Zainuddin bersama Datuk Mohd Ariff Sabri atau lebih dikenali SakmongkolAK47 yang pernah berjuang bersama UMNO dan kini menyertai DAP. Foto oleh Tzyy Ang Lim (Zeon)

Sebagai orang yang berpengalaman dan lama bersama UMNO yang kini menyertai DAP, sudah tentu Datuk dapat lihat jurang perbezaan jelas antara perjuangan, budaya UMNO dan DAP.

Perkara jelas ialah misi dan matlamat perjuangan. Pertama, DAP bersama Pakatan Rakyat nak tubuhkan sebuah kerajaan yang berpaksikan undang-undang, keadilan sosial. Kita kena pegang kepada rule of law (kedaulatan undang-undang). Itu yang melindungi semua orang. Bukan saja Melayu, seluruh rakyat Malaysia dilindungi undang-undang. Kita hidup bersama.

Dalam UMNO, undang-undang dinodai sehingga menyebabkan undang-undang berpihak kepada mereka. UMNO-BN sudah memanipulasikan sistem kehakiman kita, sistem perundangan kita, semuanya, dan akhirnya rakyat, terutamanya orang Melayu rasa perlu bergantung kepada UMNO. Kita tidak begitu. Kita mahu setiap rakyat dalam Malaysia ini faham bahawa masa depan bukan ditentukan UMNO atau mana-mana pihak tetapi harus sedar bahawa masa depan kita boleh dijamin dengan sebuah kerajaan yang telus dan melaksanakan hukum menurut rule of law.

Lagi perbezaan besar yang saya lihat antara UMNO dan DAP adalah daripada sudut kualiti kepimpinan parti. Jelas, kita dapat tengok, ramai pimpinan UMNO masuk parti dengan membawa agenda tersendiri dan akhirnya kita dapat lihat mereka bergelumang dengan politik untuk kuasa. Pemimpin DAP tidak, mereka berjuang dan berpegang pada prinsip perjuangan dengan kuat dan telus. Ini kita dapat lihat.

Kalau kita lihat melalui konteks ‘bangsa’, apa kelebihan orang Melayu menyertai DAP?

Persepsi kena betul. DAP bukan parti berasaskan bangsa. Tapi kalau nak bercakap daripada sudut itu, pertama, kalau orang Melayu menyertai DAP dan harap layanan istimewa, dapat duit, projek, jangan masuk. DAP tidak akan bagi duit bayar anda, sebab ini adalah perjuangan, kita berkongsi idea perjuangan yang sama.

Kedua, kalau orang Melayu ramai di dalam DAP, ia secara langsung akan membenamkan terus imej dan persepsi bahawa DAP ini parti kaum Cina. Ketiga apabila menyertai DAP, kita akan melalui pengalaman. Apa pengalamannya? Iaitu kita akan tahu beza bagaimana budaya dalam DAP dan dalam UMNO. Itu memang dapat dibezakan. Apa yang saya boleh kata, pimpinan DAP ini komited dengan perjuangan sekaligus kurang sangat kita dengar diselit dengan agenda peribadi sepertimana yang parah melanda UMNO.

Dalam pengalaman yang saya lalui, kalau dalam UMNO, pimpinan bertaraf wakil rakyat, ADUN, semuanya dalam keadaan tidak selamat. Sebab itu ramai yang di belakang mereka ‘main tikam belakang’ dan berkelahi sesama sendiri. Sebabnya apa? Sebab, perjuangan itu diselit dengan agenda peribadi.

Kekuatan DAP menang di kawasan Melayu

DAP ada kekuatannya sejak ia ditubuhkan pada 1966. Daripada permulaan lagi DAP menunjukkan komitmen dan konsistensi dalam perjuangan. Jadi orang lihat walaupun DAP ramai pimpinan bukan Melayu, tapi DAP mempunyai kesungguhan untuk membela keseluruhan rakyat. Ini kuncinya. Bila masyarakat umum melihat ini dan tertarik kepada organisasi yang menunjukkan disiplin, jarang kita dengar masalah lompat melompat dalam DAP.

Kita dapat lihat barisan kepimpinan DAP yang sanggup harungi kesusahan, banyak kali tidak menang, tapi tetap meneruskan perjuangan. Kemudian, kelebihannya, kita lihat di sini adalah permuafakatan antara PAS, PKR dan DAP sangat kuat. Sekarang DAP tidak lagi bersendirian tetapi dengan teman oposisi yang lain dalam Pakatan Rakyat. Ini menunjukkan kita boleh sepakat. Bila rakyat tengok kita boleh sepakat, dia ada keyakinan dan orang Melayu pun tidak perlu risau dengan kehadiran DAP. Orang Melayu dalam PAS dan PKR tidak akan duduk diam kalaulah kepentingan orang Melayu tergugat. Lagipun DAP tidak pernah sentuh isu kepentingan mahu pun hak istimewa Melayu. DAP tidak pernah usik. Ini fakta. Semua yang buruk kita dengar daripada UMNO cuma permainan politik saja.

Saya selalu tekankan, ramai orang Melayu dalam PAS dan dalam PKR. Dalam DAP pun ada Melayu juga. Kita sendiri tahu bahawa faktanya majoriti penduduk negara ini adalah orang Melayu. Siapapun pegang kerajaan, dia terpaksa akur, kena terima realiti ini. Jadi tidak ada apa yang hendak ditakutkan.

Semakin bergelombang rakyat mahu perubahan, makin banyak provokasi dilakukan mereka

Ya betul, tapi dia tak tahu segelintir penyokong ekstrimis fanatik sekadar menyakitkan hati orang yang duduk di sekeliling, masyarakat tengok, “macam ni ke UMNO respon kepada partii oposisi yang nak bagi ceramah?”

Hujah, kamu tak boleh ke balas dengan hujah? Penyokong biasa UMNO, terutamanya orang atas pagar pun fikir kenapa UMNO buat macam ni. Jadi dia tak tahu dia merugikan diri dia sendiri. Dan kita juga mahu pasukan keselamatan kita, polis menjalankan tanggungjawab dengan professional. Kalau dia lihat ada orang buat provokasi, tangkap orang itu.

Kita kena matang, semua parti yang ada pun menawarkan sesuatu pilihan kepada rakyat dan kamu hujahkanlah pilihan yang kamu hendak tawarkan kepada rakyat supaya rakyat buat keputusan buat pilihan. Jangan ganggu gugat.

Apa ramalan Datuk untuk Pilihan Raya Umum ke-13 ini

Saya yakin akan berlaku perubahan besar dalam pilihan raya umum akan datang berdasarkan pengamatan dan pengalaman politik saya. Kalau BN tidak kalah, kedudukan mereka takkan lebih baik daripada sekarang. Kalau mereka boleh menang mereka akan menang tipis. Bila mereka menang tipis. Kemungkinannya banyak.

Dalam rekod UMNO, lompat-melompat ini perkara biasa. Kalau dia tengok mesej yang dihantar rakyat dia boleh baca dengan ikhlas dan dia tahu kemenangan tipis yang diperoleh BN secara tidak beretika, saya rasa mungkin mereka yang masih ada kesedaran akan melakukan perubahan bersama dengan suara rakyat terbanyak.

Politik baru dan generasi muda

Generasi muda sedar. Mereka lihat kerajaan sepatutnya melabur untuk masa depan mereka dan negara. Pelaburan masa depan antaranya ialah membina dan mengukuhkan institusi yang menjaga demokrasi. Institusi yang membolehkan generasi baru berkembang kepada tahap terbaik.

Juga buat pelaburan dalam menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dan saya lihat generasi baru pentingkan perkara ini.

DAP banyak menunjukkan perkara yang boleh disokong generasi baru. Sebahagian besar dasar yang dibawa DAP menuju ke arah itu kerana DAP mempunyai barisan kepimpinan yang faham terhadap tuntutan masa depan.

Pesan kepada orang Melayu

Orang Melayu jangan taksub dan terikat kepada fahaman bahawa kalau UMNO-BN tidak ada atau kalah, orang Melayu akan mati, orang Melayu musnah, tidak! Sekarang ini kita perlu lihat ke hadapan, kita ada pilihan terbaik yang menawarkan pentadbiran yang lebih baik daripada BN samada dalam manifesto atau prinsip dan perjuangan yang diamalkan. Kita telah buktikan di negeri pentadbiran PR.

DAP parti masa depan Malaysia

Ya, saya yakin DAP adalah parti masa depan dan kita mesti bergerak dengan permuafakatan yang erat dalam gabungan Pakatan Rakyat. Secara tradisional, Melayu lebih selesa di bawah PAS, selagi DAP boleh bina permuafakatan dan kefahaman dengan kumpulan yang mewakili pemikiran tradisional orang Melayu, saya rasa DAP boleh bersama-sama dengan parti lain pada masa yang sama pula lebih ramai orang Melayu akan menyokong atau menjadi ahli.-Roketkini.com

Recommended Posts