Di Perbatasan, Peluru Tak Kenal Bangsa – Steven Sim

whatsapp image 2025 06 26 at 10.44.39 am

Seminggu dua ini, berita ketegangan di Timur Tengah cukup-cukup meresahkan. Dunia bergolak dengan pelbagai krisis. Sungguhpun begitu, kita di Malaysia masih dapat menjalankan kehidupan seharian dengan rasa aman kerana yakin ada perajurit tanah air yang siap sedia menggadai nyawa sekiranya gangguan sampai di perbatasan kita.

Tahniah kepada Datuk Johny Lim Eng Seng kerana telah dilantik sebagai Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Semoga pengalaman sepanjang 41 tahun dalam perkhidmatan dapat digunakan sebaiknya semasa dilantik ke jawatan ini.

Namun saya berasa sangat marah, ada pemimpin PAS yang seolah-olah mengecam pelantikan beliau hanya kerana beliau berbangsa Cina.
Sedih kerana Leftenan Jeneral Johny Lim dihina, dan sedih kerana pemimpin PAS tersebut sebenarnya telah menghina ribuan anak Malaysia lain yang setiap hari menyarung celoreng, rela berjauhan dengan keluarga, tak kira panas dan hujan, tidur di hutan dan sempadan demi pengorbanan buat tanah air ini.

Ketika peluru musuh datang, ia tak tanya tentera kita tu Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau Orang Asli. Tapi bila pelantikan diumumkan, ada pula yang pandang bangsa lebih dari pengorbanan buat negara.

Zaharuddin Muhammad (YDP PAS Sg Buloh) bukan sekadar mempertikai pelantikan ini, namun beliau juga seperti memperlekeh kepercayaan ATM dan Yang di-Pertuan Agong yang merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera. Kenyataan jahat seperti ini menyerlahkan sikap sebenar PAS terhadap masyarakat bukan Islam di negara ini.

Apakah pengorbanan Leftenan Jeneral ini selama 41 tahun dalam perkhidmatan itu masih belum cukup “layak” pada beliau? Apakah cinta seorang perajurit buat tanah air ini perlu diukur dengan warna kulit? Tidak pernahkah Zaharuddin kenal dengan nama Laksamana Muda Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) K. Thanabalasingam (Bersara), anak tempatan pertama dilantik sebagai Ketua Turus TLDM? Tidak pernahkah Zaharuddin mendengar nama Brigadier Jeneral Dato’ Sri Goh Seng Toh dan ramai lagi putera watan bukan Melayu yang memegang jawatan tinggi Angkatan Tentera Malaysia?

Kenyataan jahat berbaur perkauman, menghasut dan derhaka sebegini harus dikenakan tindakan undang-undang yang keras sebagai pengajaran kepada orang politik tak kira parti apa, jangan sesekali bermain api perkauman!

Recommended Posts