
Kerajaan Perpaduan yang ada hari ini adalah kerajaan yang telah diilhamkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Namun Perikatan Nasional (PN), melalui pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin telah terlebih dahulu menolak cadangan YDPA untuk ikut serta dalam kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru tindakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mendakwa kononnya Kerajaan Persekutuan boleh berubah jika PN menang dalam pilihan raya negeri hujung minggu ini menerima kecaman hebat.
“Ini merupakan suatu tindakan yang berunsur menghasut rakyat,” ujar Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dalam sidang media di Wisma DAP, Pulau Pinang.
“Dalam istilah biasa boleh ditafsirkan sebagai tindakan yang menderhaka titah YDPA,” tegas beliau.
Rayer terlebih dahulu telah membuat laporan polis terhadap Haji Hadi supaya disiasat di bawah Seksyen 124B dan C Kanun Keseksaan, bersabit tindakan yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Beliau turut menyeru para pemimpin PN supaya berkempen dengan lebih berhemah, berhenti menipu dan menyebarkan perkara tidak benar.
Haji Hadi dilaporkan mendakwa kerajaan persekutuan boleh bertukar sekiranya PN menang besar di enam negeri, dalam satu ceramah di DUN Rantau, Negeri Sembilan pada Ahad lalu.
“PRN enam negeri yang baki ini sangat penting untuk menangkan PN. Perlu menang besar.
“Insya-Allah, kita menang sepenuhnya Kelantan, Kedah dan Terengganu. Kita nak menang juga di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Kalau menang ini akan berlaku perubahan kerajaan pusat. Itu maknanya,” kata Ahli Parlimen Marang itu, seperti dilaporkan Malaysiakini. Hadi bagaimanapun tidak mengulas lanjut tentang mekanisme perubahan terbabit.
Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menyifatkan usaha Hadi dan PN itu sebagai Langkah Sheraton Kedua.
“Abdul Hadi tidak dapat menjelaskan bagaimana pertukaran kerajaan itu boleh terjadi.
“Dia patut dihukum kerana merancang konspirasi politik melalui Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan PH pada Feb 2020 selepas hanya 22 bulan mentadbir.
“Sebaliknya, Abdul Hadi kini meminta orang ramai untuk menyokongnya untuk melaksanakan konspirasi politik Langkah Sheraton kedua bagi menjatuhkan kerajaan perpaduan Anwar,” tulisnya dalam kenyataan.
Bagi beliau, dakwaan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang sekiranya PN menang besar adalah langsung tidak berasas.