Kerap Difitnah Anti-Islam dan Anti-Melayu, Tapi Menteri DAP Buktikan Sebaliknya

nkm teluk intan

Di Malaysia yang berbilang agama dan kaum ini, isu agama dan perkauman sering dijadikan modal politik. Malangnya, DAP kerap menjadi mangsa fitnah kononnya anti-Islam dan anti-Melayu. Namun, jika kita melihat kepada fakta dan bukan persepsi semata-mata, gambaran itu jauh tersasar. Salah satu contoh terbaik ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Saudara Nga Kor Ming.

Baru-baru ini, Nga Kor Ming berkongsi di platform X bahawa beliau menyerahkan RM72,000 untuk masjid-masjid di Teluk Intan dan RM150,000 untuk membantu pelajar Melayu di kawasannya. Ini bukan pertama kali beliau menghulurkan sumbangan kepada masyarakat Melayu dan Islam — malah beliau menegaskan amalan ini sudah menjadi tradisi.

“Saban hari DAP difitnah “anti Melayu”,namun jelas ini adalah satu pembohongan & fitnah yg menjijikkan. Hari ini saya memberi sumbangan RM150,000 kepada pelajar-pelajar Melayu di Kawasan parlimen Teluk Intan. Amalan murni ini sudah menjadi tradisi DAP. Malaysia Madani, milik kita semua!🫶🏼♥️,” tulisnya dalam X.

Lebih menarik lagi, bukti ketara dapat dilihat di negeri Kelantan yang merupakan kubu kuat Melayu-Islam. Pada tahun lepas, dalam satu lawatan turun padang, Nga Kor Ming membawa khabar gembira kepada rakyat dengan peruntukan RM156 juta untuk pelbagai projek melalui KPKT dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Antara projek yang dilaksanakan termasuk penaiktarafan Pasar Siti Khadijah (RM6.5 juta), Pasar Siti Hajar, Pasir Puteh (RM3.34 juta), pembangunan landskap Kota Bharu (RM48 juta) dan naik taraf Pantai Cahaya Bulan (RM12 juta). Selain itu, 448 buah Rumah Mesra Rakyat juga dibina, membantu golongan berpendapatan rendah yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu.

Mengapa ini penting? Kerana ia membuktikan integriti pemimpin lebih penting daripada bangsa mereka. Nga Kor Ming, seorang bukan Melayu, membuktikan bahawa amanah yang diberikan kepadanya dipikul tanpa diskriminasi. Walaupun untuk negeri Kelantan, di mana majoriti rakyatnya Melayu, beliau tetap mengutamakan pembangunan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama, Dr. Hafidzah, turut memuji usaha beliau, menyifatkan Nga Kor Ming sebagai ‘sirih pulang ke gagang’ apabila turun padang membantu rakyat Kelantan. Hakikatnya, apabila pemimpin mempunyai integriti dan hati untuk berkhidmat, tiada siapa yang terpinggir — Melayu, Cina, India semuanya mendapat manfaat.

Maka, sudah tiba masanya rakyat menilai pemimpin berdasarkan hasil kerja, bukan warna kulit atau propaganda palsu. Fitnah terhadap DAP kononnya anti-Islam semakin tidak relevan apabila fakta di lapangan menunjukkan sebaliknya. Di Teluk Intan, di Kelantan, dan di seluruh negara, konsep Malaysia Madani hanya dapat dibina dengan keikhlasan dan integriti oleh para pemimpin itu sendiri.

Recommended Posts