Difitnah terlibat agenda Evangelis, Hannah Yeoh petik pendirian PAS

Selepas sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dituduh menjalankan program yang berkaitan Kristianisasi, menterinya, Hannah Yeoh menjawab fitnah menggunakan hujah yang pernah dikeluarkan oleh pemimpin PAS.

Hannah menegaskan bahawa Program Jom Ziarah yang diwujudkan sebagai sebahagian daripada usaha Impact Malaysia di bawah KBS untuk meningkatkan kesedaran masyarakat majmuk di negara ini yang membabitkan kunjungan ke gereja tidak melibatkan belia beragama Islam.

Jelas Hannah, bagi isu yang telah dibangkitkan berkenaan pendaftaran Program Jom Ziarah gereja, pihak kementerian menerusi Impact Malaysia sememangnya tidak akan melibatkan penyertaan belia Muslim dan tiada belia Muslim memasuki gereja menerusi program ini.

Program Jom Ziarah yang berlangsung di Masjid Negara pada 24 Mac telah dihadiri oleh lapan belia berbangsa Cina dan India, manakala di Gurdwara pada 11 Mac hanya tiga orang belia berbangsa Cina menyertai program tersebut.

Hannah turut menegaskan bahawa beliau sememenangnya memahami Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf agama Islam sebagai agama Persekutuan. Justeru, tindakan pihak yang menyerangnya dengan isu itu disifatkan mahu menutup isu tuduhan yang dihadapi sesetengah pemimpin politik ketika ini.

Hannah juga berkata pihak yang membuat fitnah terhadap kerajaan wajar mendengar nasihat yang pernah disuarakan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim yang merupakan ahli parlimen PAS sendiri pernah berkata pada 2 Oktober 2018 bahawa tidak salah orang Islam masuk kuil dan terima kalungan. Parti itu tidak mempertikaikan mana-mana orang Islam yang mahu ke rumah ibadat agama lain selagi tidak mengikuti upacara agama itu. Menurut HarakahDaily, beliau berkata Islam tidak mengharamkan penganutnya untuk memasuki rumah ibadat agama lain.

image
Keratan akhbar kenyataan Tuan Ibrahim bertarikh 2 Oktober 2018

Untuk rekod, Program Jom Ziarah adalah usaha untuk mengenali perbezaan agama yang ada dikalangan kita dimana ianya adalah usaha untuk membezakan dan supaya dengan cara itu masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama ini boleh hidup lebih harmoni dan lebih bertoleransi.

Tambahan pula, pelaksanaan program melawat rumah ibadat ini juga bukanlah satu perkara yang baharu. Sebelum ini, Kementerian Perpaduan Negara juga pernah mengadakan program lawatan ke rumah ibadat yang melibatkan pelbagai penganut melalui Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama (JKMPKA) yang kini dikenali sebagai Jawatankuasa HARMONI di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). Ia bertujuan untuk mempromosi persefahaman di antara penganut agama yang berlainan di negara kita.

Recommended Posts