Dr Siti Mastura Lebih Layak Menerima “Sedekah” Bulanan RM300 Daripada Ahmad Fadhli Berbanding Dengan Teresa

Saya menggesa Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Parlimen PAS, untuk mempertimbangkan semula cadangannya untuk memberi “sedekah” RM300 sebulan bagi membantu Teresa Kok untuk membuat penterjemahan. Sebaliknya, saya cadangkan sumbangan ini disedekahkan kepada Dr. Siti Mastura, bagi membolehkan beliau mengupah penyelidik untuk menjalankan kajian politik yang teliti sebelum menyampaikan ucapannya, khususnya isu mengenai DAP.

Dalam prosiding Mahkamah Tinggi berkenaan kes saman fitnahnya baru-baru ini, Dr. Siti Mastura percaya sepenuhnya semua isi kandungan sebuah buku dari sumber tanpa nama yang didakwa berkaitan dengan BN Communication, yang mengandungi banyak kenyataan yang berunsur fitnah.

Sebagai pemegang PhD, beliau seharusnya lebih berhati-hati menjadikan sumber yang tidak sah seperti itu sebagai rujukan, yang pada dasarnya adalah cerita dongeng. Terutama sekali apabila buku tersebut tidak mempunyai pengarang yang boleh dikenal pasti, ISBN, atau penerbit.

“Sedekah” ini sudah pasti dapat membantu Dr Siti Mastura untuk mengelakkan daripada membuat kenyataan yang tidak berasas, seperti dakwaan hubungan keluarga antara Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dengan Chin Peng. Jelas sekali, Dr Siti Mastura lebih layak menerima “sedekah” RM300 daripada Ahmad Fadhli berbanding dengan Teresa.

Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Kepong

Recommended Posts