
Disember ini menandakan dua tahun Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di bawah kepimpinan Steven Sim Chee Keong melakar hala tuju baharu dalam landskap pekerjaan negara, dengan fokus jelas kepada pemerkasaan pekerja, pembaharuan institusi dan kecekapan pentadbiran.
Dalam tempoh yang singkat itu, pelbagai langkah dasar dan perundangan berjaya dilaksanakan, sekali gus meletakkan isu kebajikan, kemahiran dan produktiviti pekerja sebagai teras pembangunan ekonomi.
“Kami bukan 100% perfect, tapi team KESUMA telah bekerja keras sepanjang 2 tahun ini, memastikan kebajikan, kemahiran & keberhasilan pekerja meningkat”, tulisnya di X.
Antara pencapaian utama ialah kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 serta lonjakan gaji bulanan median yang melepasi ambang RM3,000 buat pertama kali.
Dasar Gaji Progresif pula memberi manfaat kepada lebih 32,000 pekerja yang menyertai program pada 2025, dengan kenaikan gaji permulaan median sehingga 16 peratus.
Pada masa sama, negara merekodkan kadar pengangguran terendah dalam tempoh sedekad dan peningkatan tertinggi penubuhan kesatuan sekerja baharu.
Pengukuhan rundingan kolektif turut diberi penekanan, termasuk perjanjian terkini melibatkan Genting Malaysia yang menyaksikan penyelarasan gaji sebanyak 10 peratus dan gaji permulaan RM1,800.
Dari sudut perlindungan, Malaysia melangkah ke hadapan dengan ratifikasi Konvensyen C155 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta penguatkuasaan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) berasaskan amalan terbaik dunia.
Pindaan Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun pula memastikan hak pekerja yang lebih saksama di seluruh negara, disusuli pemerkasaan Mahkamah Perusahaan Malaysia dan perlindungan lebih menyeluruh kepada pekerja migran, termasuk isu gaji, keselamatan sosial dan mekanisme aduan.
Dalam kerangka keselamatan sosial, faedah PERKESO dipertingkatkan dengan pengenalan bersejarah Skim Lindung 24 Jam selepas lebih 50 tahun, selain pembentangan Rang Undang-Undang Pekerja Gig.
Reformasi TVET melalui pindaan akta berkaitan membuka laluan kepada Sijil Kemahiran Modular Malaysia dan Sijil Pakar Malaysia, disokong pembaharuan HRD Corp bagi pendanaan latihan yang lebih cekap.
Kecekapan pentadbiran turut menjadi fokus melalui rekayasa proses KESUMA, termasuk pengurangan tempoh kelulusan permit ekspatriat kepada sekitar 20 hari, kelulusan geran HRD dalam 24 jam dan pemendekan pelbagai proses birokrasi lain.
Dua tahun ini mungkin berlalu tanpa disedari, namun kesannya semakin jelas.
Pekerja KESUMA Bangsa.



