Ego Mahathir dan dendamnya terhadap Anwar

bfb72ece 7ee6 4da1 86da 197707312363

Tun Dr. Mahathir Mohamad nampaknya tidak boleh mengawal dirinya daripada menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada usia hampir 100 tahun dalam beberapa bulan sahaja lagi, beliau terus mencari jalan untuk menjatuhkan Anwar — daripada manipulasi politik hingga pelbagai pendakwaan. Kini, selepas lebih dua tahun Anwar menerajui negara, Mahathir masih lagi meroyan di media sosial dengan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas.

Mengapa Mahathir begitu obses? Jawapannya mudah — ego. Beliau tidak mampu menerima hakikat bahawa Anwar kini sudah menjadi Perdana Menteri. Ego Mahathir menyebabkannya mahu kekal sebagai satu-satunya pemimpin yang dianggap hebat, dan sesiapa yang tidak tunduk kepada kepercayaan dan panduannya akan dihina. Namun, Mahathir perlu sedar bahawa rakyat Malaysia sudah menyampah dengan politik dendam dan perebutan kuasa.

Anwar mewarisi ekonomi yang bermasalah serta sistem politik yang pincang akibat dasar-dasar lama, terutamanya ketika zaman Mahathir menjadi Perdana Menteri. Daripada membantu, Mahathir memilih untuk terus menyerang tanpa menawarkan penyelesaian. Malaysia memerlukan kepimpinan yang berani, bukan suara yang hanya tahu menyalahkan ekoran daripada emosi yang tidak berkesudahan.

Mahathir sudah dua kali mentadbir, dan dua kali juga negara bergolak selepas beliau berundur. Jadi, siapa sebenarnya yang gagal? Anwar baru lebih dua tahun memimpin, tetapi Mahathir bertindak seolah-olah semua masalah negara bermula pada tahun 2022.

Ya, Mahathir berhak bersuara, tetapi jika beliau mahu dihormati sebagai seorang negarawan, tegurlah dengan jujur dan bertanggungjawab. Jika benar beliau mahu melihat Malaysia maju, berilah ruang kepada kepimpinan baharu untuk membuktikan kemampuan mereka, bukannya terus mengulangi dendam lama. Mahathir perlu benar-benar memikirkan legasi jenis apa yang beliau mahu tinggalkan.

Terima kasih.

Lim Lip Eng

Recommended Posts