“Kita tak ajar aktiviti 3M”
Begitulah antara pesanan yang disuarakan oleh Ketua DAPSY Kebangsaan yang baru, Sdr Woo Kah Leong ketika sidang medianya yang pertama setelah sah menyandang jawatan tersebut. 3M yang dimaksudkan iaitu Makan, Main dan Minum bukan merupakan antara aktiviti keutamaan sayap parti anak muda itu, malahan fokus yang diberikan merupakan 4 dasar utama demi usaha mengangkat martabat generasi muda.
Empat dasar utama yang berdasarkan ideologi dan slogan “Kekalkan Perjuangan Parti, Martabatkan Generasi Muda” akan menjadi benteng utama perjuangan yang akan diteruskan dalam Majlis Eksekutif Kebangsaan buat penggal ini.
Antara dasar utamanya ialah komitmen dalam menggerakkan segala usaha untuk memansuhkan AUKU demi mengembalikan demokrasi sebenar setiap kampus, menyatukan sistem kemasukan universiti, merancakkan lagi program pendidikan politik dan menarik bakat muda untuk memasuki parti DAP.
Sdr Kah Leong menyatakan yang kesemua empat dasar ini sesuai buat seluruh kepimpinan DAPSY di mana 80 peratusnya adalah ditunjangi ahli-ahli yang lahir bermula tahun 1990 dan ini bermaksud DAPSY memasuki era pemerintahan yang baru. Oleh itu, kesemua cadangan dasar-dasar ini beresonansi dengan ahli-ahli yang sekarang kerana kesemua dapat merasai keperitan dan perjuangan reformasi yang mungkin belum tercapai seperti pemansuhan AUKU.
Beliau juga berkata kesemua 32 pemegang jawatan DAPSY Kebangsaan harus mempertahankan kepelbagaian dan kemajmukan negara demi melawan retorik perkauman dan keagamaan yang dipermainkan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
Akhir sekali, Sdr Kah Leong berpesan agar prinsip perjuangan parti harus dijadikan landasan buat semua ahli kerana itulah yang membezakan DAPSY dengan sayap-sayap parti yang lain.