Esscom gagal: DAP pertimbang usul tak percaya terhadap KM

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman didesak bertanggungjawab dan mengakui kegagalannya mempertahankan keselamatan bahagian pantai timur negeri itu yang sering dicerobohi walaupun dengan kewujudan Pusat Kawalan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Jika Musa enggan berbuat demikian, beliau bakal berdepan usul undi tidak percaya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, kata Naib Pengerusi DAP Sabah Chan Foong Hin.

“Musa selaku Pengerusi Esscom sepatutnya bertanggungjawab penuh terhadap kes penculikan yang sentiasa berulang di Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszon) walaupun dengan langkah mengetatkan keselamatan.

“Insiden terbaru di ladang ternakan ikan di Kampung Air Sepang Kunak hanya pengulangan kes-kes serupa sebelumnya,” kata Chan yang juga Adun Seri Tanjong itu.

Semalam, satu lagi insiden penculikan terbaru di Sabah apabila seorang pengusaha ikan sangkar, Chan Sai Chiun, 32, dan seorang lelaki keturunan Suluk berusia lingkungan 20-an dikenali sebagai Mazlan oleh dua lelaki bersenjata.

Sebelum ini pada 2 April, seorang pelancong warga Cina dicuik di Semporna. Manakala pada 6 Mei, penculikan berlaku di kawasan Silam, Lahad Datu.

“Saya tidak memperkecilkan pengorbanan dan sumbangan kakitangan keselamatan di bawah Esscom, tetapi mempersoal kesungguhan kerajaan negeri menjaga keselamatan penduduk dan kedaulatan kawasan Esszon.

“Ketua Menteri perlu mengambil tanggungjawab penuh terhadap apa yang berlaku dan secara terbuka mengaku gagal menjaga keselamatan rakyat di Esszon,” katanya lagi.

Pada 11 Jun lalu, Pakatan Rakyat menyerahkan memorandum cadangan meningkatkan tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Antara cadangan dikemukakan adalah pembubaran Esscom dan menggantikannya dengan Majlis Keselamatan Negeri yang lebih bersepadu dianggotai Setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua Polis Sabah dan panglima briged tentera darat.

Awal bulan lalu, DAP Sabah menyerahkan memorandum berhubung isu sama, selain mencadangkan Esscom diganti dengan jawatankuasa baru bagi menyelesaikan masalah pertindihan tugas dalam Esscom.

Esscom diwujudkan selepas pencerobohan pengganas Sulu awal tahun lalu dan menelan belanja RM200 juta di awal penubuhannya. – Roketkini.com

Recommended Posts