Fitnah dan tohmahan tidak benar terhadap LRT Pulau Pinang

474897548 1033216288845504 6459803587313402476 n

1. Kami telah mendengar sesi siaran podcast bertajuk “Is Penang’s Transportation Infrastructure Well Thought Out?” antara pihak BFM dan seorang individu bernama Dr Rosli Azad Khan, Transport Consultant yang memberi maklum balas berkaitan cadangan pembinaan LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang dari sudut yang negatif.

2. Sudah pasti bagi apa pun projek yang melibatkan dana kerajaan kita menerima pelbagai kritikan yang membina dengan harapan dapat mempertingkatkan kecekapan dan tadbir urus yang baik. Walaubagaimanapun, kritikan tersebut tidak seharusnya dilakukan dengan kenyataan fitnah tanpa fakta yang betul yang sememangnya membawa kepada kekeliruan masyarakat awam.

3. Untuk makluman, pembinaan LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang adalah bagi melengkapkan jaringan pengangkutan awam di Pulau Pinang yang ketika ini dalam keadaan yang sangat mendesak. Dengan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya dan realiti keadaan jalan raya yang sempit di Pulau Pinang, hal ini mendesak kerajaan untuk memulakan pembinaan LRT ini dengan kadar segera.

4. Sudah pasti setiap masyarakat dan komuniti setempat mahu laluan LRT ini singgah berhampiran kediaman mereka. Walaupun begitu, kita harus realistik dari segi kos yang dibelanjakan oleh kerajaan. Dalam kerajaan ingin memastikan kecekapan dalam pembinaan jaringan pengangkutan awam yang menyeluruh dan baik di negara ini, kita juga harus memahami realiti status kewangan negara kita yang menguncup.

5. Bagi mereka yang sering melihat dan memahami Pelan Induk Pengangkutan Awam Pulau Pinang (PTMP), sudah tentu mereka faham bahawa jaringan LRT yang dirancang di Pulau Pinang mempunyai beberapa jaringan. Laluan Mutiara ini merupakan fasa pertama yang merangkumi 21 stesen dengan panjang jajaran sejauh 29.5 kilometer (KM) bermula daripada Silicon Island – Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang – Zon Industri Bebas (FIZ) Bayan Lepas – KOMTAR dan ke Penang Sentral. Laluan stesen ini menghubungkan tunjang utama pergerakan rakyat Pulau Pinang.

6. Bagi laluan LRT di sekitar kawasan Seberang Perai pula, ketersambungan LRT Laluan Mutiara ke Stesen Penang Sentral akan menghubungkan tren elektrik (ETS) dan terminal bas di butterworth. Sememangnya sambungan ini memudahkan pergerakan rakyat bukan sahaja Pulau Pinang tetapi juga bagi mereka yang menetap di Kedah, Perlis dan Perak yang bekerja atau ingin melancong ke Pulau Pinang.

7. Kami juga ingin respon terhadap tohmahan kononnya Feri Pulau Pinang telah ditamatkan perkhidmatannya. Untuk rekod, tidak pernah mana-mana kenyataan dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahupun Penang Port Sdn. Bhd. atau Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang berhubung penamatan perkhidmatan Feri Pulau Pinang. Ini jelas suatu fitnah yang tidak berasas dan sengaja disebut untuk mewujudkan kekeliruan kepada orang awam. Mungkin individu tersebut bukan rakyat Pulau Pinang kerana jika dia merupakan rakyat Pulau Pinang dan tahu tentang PTMP yang dirancang, perkhidmatan feri masih diteruskan dan LRT Pulau Pinang bergerak sebagai pelengkap kepada jaringan pengangkutan awam di negeri ini.

8. Kami berharap Dr. Rosli Azad Khan yang melabelkan dirinya selaku Transport Consultant lebih bertanggungjawab apabila mengeluarkan pandangan dan kenyataannya. Sila semak fakta dan kebenaran yang tepat dan jangan sengaja mewujudkan kekeliruan terhadap fakta yang tidak sahih dalam kalangan rakyat Pulau Pinang. Menyemak fakta dan kesahihan sesuatu perkara amat penting supaya tidak tepuk air di dulang, terpercik muka sendiri.

TAMAT

Kenyataan bersama:

Vijay Pillay
Timbalan Ketua DAPSY Pulau Pinang

Farid Maulud
Setiausaha Publisiti DAP Cawangan Flat Uda merangkap AJK DAPSY Pulau Pinang

Recommended Posts