Spekulasi yang tersebar di media sosial bahawa Program Kewarganegaraan Pulau Pinang (PKPP) merupakan agensi swasta di bawah JPN adalah tidak benar dan perlu diperjelaskan

447748134 993229232808483 481027371786011525 n

Pada 1 Februari 2013, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meluluskan Program Kewarganegaraan Kerajaan Negeri untuk membantu penduduk Pulau Pinang yang tidak mempunyai taraf kerakyatan Malaysia. Saya, YB Lim Siew Khim, Ahli EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, telah dilantik sebagai pemantau program tersebut.

Empat Pegawai Pembantu Kewarganegaraan telah dilantik untuk membantu penduduk Pulau Pinang yang lahir di Pulau Pinang yang menghadapi pelbagai masalah permohonan taraf kewarganegaran seperti daftar lewat sijil lahir, daftar lewat kad pengenalan, permohonan kewarganegaraan Malaysia, permohonan MyPR, MyKas, dan permohonan lain yang berkaitan dengan status kerakyatan Malaysia.

Program Kewarganegaraan Pulau Pinang tidak mengeluarkan kad pengenalan (IC), tetapi hanya bertindak sebagai perantara antara orang awam dan kerajaan. Inisiatif ini diambil kerana banyak wakil rakyat menerima permohonan dan kunjungan berkaitan isu ini di pusat khidmat mereka dan ini melibatkan banyak dokumentasi dan pemeriksaan yang teliti.

PKPP telah membantu ramai penduduk Pulau Pinang. Jika permohonan tidak memenuhi syarat di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, maka kami akan menasihati mereka tentang langkah yang sewajarnya.

PKPP bukan sebuah unit baru atau beroperasi secara rahsia. Ia telah ditubuhkan sejak 2013 dan telah dibentangkan dalam mesyuarat EXCO dan di Dewan Undangan Negeri (DUN). Semua orang sedia maklum mengenai unit ini, dan ia tidak pernah menjadi isu sebelum ini.

Unit ini telah membantu ramai orang yang layak mendapatkan kewarganegaraan mereka dengan mengikuti undang-undang.

Sejak tahun 2013, PKPP membantu rakyat Malaysia yang lahir di Malaysia tetapi tidak memperoleh taraf kewarganegaraan kerana bapa berwarganegara Malaysia tidak mendaftarkan perkahwinan dengan ibu warganegara asing di JPN. Dalam sijil kelahiran kanak-kanak tersebut, tertera perkataan “BUKAN WARGANEGARA” dan mereka perlu memohon kewarganegaraan Malaysia mengikut Perlembagaan Persekutuan – Perkara 15A.

448061207 993239186140821 8768967132680793741 n

Ramai telah menerima manfaat dari program ini termasuk orang Melayu, Cina, dan India. Kami telah membantu mereka mengemukakan permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia di JPN. Dengan bantuan kami (2018 hingga kini), seramai 101 orang telah berjaya memperoleh taraf kewarganegaraan.

Program Kewarganegaraan Pulau Pinang bukanlah sebuah JPN swasta. Kami membantu penduduk yang dilahirkan di Pulau Pinang yang tidak mempunyai taraf kerakyatan Malaysia dalam meyelaraskan pelbagai permohonan berkaitan status kerakyatan di JPN.

LIM SIEW KHIM
EXCO PEMBANGUNAN SOSIAL, KEBAJIKAN & HAL EHWAL BUKAN ISLAM
ADUN SUNGAI PINANG

Recommended Posts