
YB Lee Chin Chen menegaskan bahawa gelaran “Tan Sri” yang dianugerahkan kepada Muhyiddin Yassin wajar ditarik balik dengan segera. Kenyataan terbaru beliau yang mendakwa bahawa kenyataan beliau di ceramah PRK Nenggiri tersebut adalah berasaskan fakta dan beliau tidak bersalah dalam menuduh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tidak melantiknya sebagai Perdana Menteri walaupun kononnya mempunyai majoriti yang mencukupi, adalah satu lagi kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan mengelirukan orang ramai. Kenyataan Muhyiddin bukan sahaja mencabar keputusan YDPA tetapi juga cuba menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Sebagai seorang pemimpin yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan, Muhyiddin seharusnya menunjukkan tauladan yang baik dan mematuhi prinsip-prinsip Perlembagaan. Malangnya, beliau memilih untuk menyebarkan maklumat yang salah dan mengelirukan, sekaligus membuktikan bahawa beliau tidak layak memegang gelaran tertinggi negara.
Tindakan Muhyiddin ini bukan sahaja mencemar institusi diraja tetapi juga berpotensi menghancurkan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi berperlembagaan yang kita amalkan. Saya menggesa agar gelaran “Tan Sri” beliau ditarik balik sebagai satu tindakan tegas untuk mempertahankan maruah dan kedaulatan negara kita.
Sebagai rakyat Malaysia yang menghormati Perlembagaan dan Institusi Diraja, kita tidak boleh berdiam diri apabila pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh teladan mengambil tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara. YB Lee Chin Chen menyeru agar tindakan tegas diambil untuk mempertahankan maruah dan integriti institusi diraja serta kestabilan negara.
Gelaran “Tan Sri” adalah satu penghormatan yang tinggi, dan ia hanya layak diberikan kepada mereka yang benar-benar menjunjung nilai-nilai yang mulia dan menghormati asas-asas kenegaraan kita.
YB Lee Chin Chen
Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP