#GengSubuhMacamJumaat – Wakil rakyat DAP Johor semarakkan program #SemarakSubuhJohor

whatsapp image 2024 01 11 at 2.55.15 pm

Inisiatif Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam usaha untuk menyemarakkan surau dan masjid di waktu Subuh melalui program Semarak Subuh Johor telah mendapat sambutan yang baik daripada semua pihak.

Program Semarak Subuh Johor dijalankan serentak di semua masjid dan surau melibatkan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri negeri itu. Inisiatif tersebut melibatkan 838 masjid dan 1,942 surau di seluruh Johor pada setiap subuh Jumaat sepanjang tahun ini.

Tidak ketinggalan, wakil-wakil rakyat DAP di Johor juga turut serta dalam menyantuni program tersebut di kawasan DUN masing-masing.

ADUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng antaranya, turut menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri Johor ini dan berpeluang menyantuni sendiri program tersebut di Masjid Nurul Ta’zim KDSM Majidee yang disertai oleh lebih 130 jemaah.

Andrew dalam satu hantaran Facebooknya berkata, rutin bangun awal pagi ini sememangnya suatu amalan yang baik serta mempunyai banyak manfaat.

“Walaupun saya bukan beragama Islam, namun tabiat bangun awal di pagi hari sememangnya suatu amalan baik dan sihat secara universal,” katanya.

Bagi ADUN Skudai, Marina Ibrahim pula, program seperti ini adalah peluang yang baik untuk berjumpa dan mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi oleh penduduk setempat.

Jelasnya, Kerajaan Negeri Johor telah melancarkan program Semarak Subuh Johor di kesemua 56 DUN di seluruh Johor untuk tempoh 48 minggu, dan ia turut disertai oleh ketua agensi dan jabatan Kerajaan.

Di DUN Penggaram, Saudara Shazwan Zdainal telah mewakili ADUN Penggaram, Gan Peck Cheng untuk menyertai program yang diadakan di Masjid Kampung Istana.

“Program #SemarakSubuhJohor turut diisi dengan sesi tadabbur yang disampaikan oleh Ust. Mohd Adham Hodari, Imam Daerah Batu Pahat,” katanya.

Tidak ketinggalan, ADUN Bentayan, Ng Yak Howe turut menyantuni program serupa di Masjid Al Mubarak Kampung Kelantan Muar. Di Mengkibol, Pejabat ADUN Mengkibol juga telah menghantar wakil bagi menyertai program tersebut.

Recommended Posts