Gesa siasatan menyeluruh berhubung jenayah dadah melibatkan anggota polis

Saya menggesa agar siasatan menyeluruh dijalankan berhubung jenayah berkaitan dadah yang melibatkan anggota polis. Adalah penting untuk menjalankan siasatan rapi bagi mengenal pasti bagaimana anggota-anggota ini memperoleh dadah serta sumber kewangan yang digunakan untuk menyokong aktiviti haram mereka. Adakah pegawai-pegawai yang tidak berintegriti ini sebahagian daripada rangkaian jenayah yang lebih besar? Adakah mereka mencuri dadah daripada pengedar atau daripada bilik barang bukti polis? Soalan-soalan ini perlu dijawab jika kita serius mahu mengambil langkah berkesan dalam membanteras rasuah dan jenayah dalam pasukan polis.

Penangkapan tiga anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang baru-baru ini, yang didapati positif dadah semasa berhibur di pusat hiburan di Taman Dutamas, Cheras, mendedahkan satu isu yang sangat membimbangkan. Anggota-anggota ini kini sedang disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.

Untuk sekian lama, siasatan terhadap kesalahan berkaitan dadah yang melibatkan anggota polis hanya tertumpu kepada kes-kes individu. Pendekatan sebegini tidak memadai dan gagal menangani rangkaian serta sistem yang membolehkan tingkah laku jenayah ini terus berlaku. Apa yang diperlukan adalah pendekatan yang lebih menyeluruh — bukan sahaja menyabitkan individu yang bersalah, tetapi juga mendedahkan serta membongkar budaya atau rangkaian dalaman yang membolehkan penyalahgunaan dadah dan kegiatan haram lain dalam pasukan polis.

Saya mendesak pihak kepimpinan polis serta kerajaan untuk segera mengambil tindakan tegas dengan melancarkan siasatan penuh dan telus berhubung isu ini. Orang awam perlu diyakinkan bahawa mereka yang diamanahkan untuk menegakkan undang-undang tidak terlibat dalam kegiatan jenayah.

Terima kasih,
Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Kepong

Recommended Posts