Guan Eng Gesa Siasatan Terhadap Zaharuddin Berhubung Kenyataan Berbaur Perkauman.

Menantu kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, iaitu Zaharuddin Muhammad yang juga merupakan Ketua PAS Kawasan Sungai Buloh, perlu didakwa dan dikenakan tindakan undang-undang atas jenayah menghasut kebencian kaum serta mencetuskan ketegangan perkauman melalui hantaran Facebook beliau yang berbaur perkauman berhubung pelantikan Johnny Lim sebagai pegawai tentera Cina pertama yang dilantik ke pangkat Leftenan Jeneral dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam hantaran yang kini telah dipadam itu, Zaharuddin mendakwa bahawa Malaysia mungkin akan mempunyai Perdana Menteri Cina yang pertama menjelang tahun 2058 susulan pelantikan bersejarah Johnny Lim. Kenyataan berbaur perkauman dan melampau ini bukan sahaja menghina profesionalisme serta integriti ATM, malah mencemarkan pencapaian cemerlang Johnny Lim dan memperlekehkan pengorbanan serta kesetiaan rakyat bukan Melayu terhadap negara.
Politik kebencian dan tidak bertoleransi yang dibawa oleh PAS kini semakin ekstrem, fanatik dan sarat dengan unsur perkauman. Sikap ini mesti dihentikan dan tidak boleh dibiarkan berterusan. Tiada satu pun institusi yang dianggap suci daripada serangan PAS, kumpulan etnik minoriti mudah dijadikan sasaran fitnah, manakala Perlembagaan Persekutuan pula dihina secara terbuka.
Hanya hukuman yang tegas terhadap naratif yang tidak bertanggungjawab dan berbahaya seperti ini dapat menyelamatkan Malaysia daripada terjerumus ke dalam kehancuran akibat rasisme dan ekstremisme yang sedang disuburkan oleh PAS.

Recommended Posts