Guna pengaruh dalam ASEAN, OIC desak Myanmar hentikan keganasan – DAPSY

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Kerajaan Malaysia digesa menggunakan pengaruhnya dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan ASEAN (AICHR) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi mendesak Myanmar agar menghentikan pembunuhan massa etnik Rohingya.

Setiausaha Eksekutif Biro Antarabangsa DAP, Howard Lee turut mendesak Kementerian Luar Negeri menggerakkan sumber negara serta pemimpin Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menyelesaikan krisis kemanusiaan yang berlaku di Rakhine, Myanmar tersebut.

“Keadaan luar biasa memerlukan tindakan yang luar biasa; ‘cara ASEAN’ yang tidak campur tangan telah terbukti sia-sia dalam memastikan sebarang cabaran kekal dalam sempadan negara.

“Kerajaan Malaysia sepatutnya memulakan penglibatan bilateral dengan kerajaan Myanmar dalam menyatakan tuntutan yang jelas terhadap keganasan yang ditaja oleh negara itu untuk segera dihentikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya yang juga Pengarah Biro Hal-Ehwal Antarabangsa Sosialis Muda DAP (DAPSY), sudah tiba masanya untuk Malaysia mencontohi negara serumpun, Indonesia dalam mengambil tindakan pro aktif bagi menangani krisis tersebut.

“Sebagai sebuah negara, kita mesti bersatu dalam mengutuk secara konsisten mereka yang melakukan sebarang keganasan terhadap mana-mana kumpulan manusia, tanpa mengira kaum atau agama.

“Kebencian, penindasan dan keganasan tidak harus wujud dalam mana-mana negara, dan kerajaan Malaysia harus memastikan bahawa ia berdiri teguh dengan reputasinya sebagai salah satu negara yang menjuarai hak asasi manusia di rantau ini,” katanya.

Kata Howard yang juga Adun Pasir Pinji lagi, DAP menentang keras tindakan keganasan yang dilakukan mana-mana kumpulan atau kerajaan, malah mengutuk tindakan sesetengah pihak yang menyebarkan api kebencian dan polarisasi.

“Satu-satunya kebimbangan kami adalah mengenai keselamatan dan kesejahteraan orang awam tanpa mengira kaum atau agama,” ujarnya yang juga Presiden Kesatuan Sosialis Muda Antarabangsa (IUSY).

Howard yang mewakili DAPSY dalam kenyataan sama, turut menyenaraikan tuntutan seperti berikut:

• Menghentikan dengan segera kegiatan ketenteraan di Utara Rakhine.
• Kemasukan semula secara segera agensi PBB dan pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa (INGO) ke kawasan krisis
• Pembiayaan tambahan kepada responden pertama dan pekerja kemanusiaan di Bangladesh
• Akses misi pencarian fakta oleh UNHCR ke Rakhine
• Dialog berterusan antara pihak Bangladesh dan Myanmar – wujudkan pengurusan sempadan bersama.
• Membenarkan media antarabangsa melakukan liputan keadaan di Utara Rakhine.
• Persidangan Antarabangsa mengenai cadangan Suruhanjaya Penasihat berhubung Negara Rakhine (http://www.rakhinecommission.org/)
• Persidangan Antarabangsa mengenai Implikasi Serantau laporan Kofi Annan dengan menerima delegasi serentak dari negara-negara serantau terutamanya Bangladesh, selain India, Thailand, Indonesia, Australia, dan Malaysia. – Roketkini.com.

Recommended Posts