
“Mengutamakan cadangan DAP membelakangi ketetapan Allah”, demikian tajuk tulisan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dalam satu lagi usaha mengalihkan perhatian rakyat daripada laporan akhbar parti beliau pada Ogos 2021 (rujuk lampiran). Ketika itu, kerajaan yang dianggotai PAS sendiri mencadangkan supaya tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan.
Jika diteliti, cadangan yang dibangkitkan oleh DAP baru-baru ini sebenarnya hanyalah mengulangi pendirian yang pernah disuarakan oleh Perikatan Nasional sebelum ini.
Namun, seperti kebiasaannya, apabila ketandusan idea seperti sekarang ini, DAP jugalah yang perlu dipersalahkan. Hadi Awang mendakwa bahawa cadangan tersebut kononnya bertentangan dengan ketetapan Tuhan.
Polis mesti segera menyiasat kenyataan Hadi Awang yang jelas berbaur hasutan apabila mendakwa “para pemimpin DAP secara terbuka menentang Islam”. Tiada siapa kebal daripada undang-undang, dan jika dibiarkan, kenyataan seperti ini hanya akan menggalakkan lebih banyak ucapan berbahaya. Tindakan tegas perlu diambil sekarang sebelum keadaan bertambah buruk!
Pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, penting untuk kita bermuhasabah tentang takdir dan ketetapan Tuhan, seperti yang cuba dihujahkan oleh Hadi Awang.
Kerana takdir Tuhan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-10, dan bukan Hadi Awang.
Takdir Tuhan juga menentukan bahawa PAS tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan yang mentadbir negara ini.
Takdir Tuhan jugalah yang menetapkan bahawa PAS dan Perikatan Nasional tidak mempunyai bilangan kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan, meskipun Hadi Awang begitu yakin jumlahnya sudah mencukupi.
Tanpa mendahului takdir, saya hanya ingin bertanya kepada Ahli Parlimen Marang ini:
1. Adakah Hadi Awang merupakan calon Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang?
2. Jika ya, adakah beliau bercadang untuk memegang jawatan Perdana Menteri lebih daripada dua penggal?
Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Kepong