
Dalam dunia yang semakin menuntut ketelusan dan integriti, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah pimpinan Hannah Yeoh melakar sejarah dengan satu pendekatan progresif, menamatkan amalan pelantikan politik dalam Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN).
Majlis ini, yang menjadi medan rundingan antara kerajaan dan belia, kini menyaksikan perubahan besar dalam proses pemilihan Ahli Lantikan Menteri (ALM). Kini, pemilihan dibuka secara terbuka kepada belia massa, tanpa mengira ideologi, parti atau latar belakang. Ia adalah langkah konkrit ke arah keterangkuman yang sebenar.
MPBN ditubuhkan sebagai platform nasional untuk merumus dasar pembangunan belia. Di sinilah denyut nadi generasi muda dihimpun dan diselaraskan agar seiring dengan hala tuju negara. Dalam sidang penggal ke-35 sesi 2025–2026, MPBN mengekalkan peranannya sebagai pemangkin penyertaan belia yang bermakna, bukan sekadar kosmetik.
Langkah membuka pelantikan ALM secara merit kepada orang muda dari pelbagai bidang merupakan refleksi komitmen KBS terhadap nilai integriti dan keadilan sosial. Ia menamatkan budaya ‘siapa kenal siapa’ dan membuka ruang kepada mereka yang benar-benar mahu menyumbang kepada pembangunan negara. Penyertaan yang lebih luas ini juga membawa kepelbagaian perspektif, dari pertubuhan belia, golongan profesional muda, hingga komuniti luar bandar.
Malah, reformasi ini harus dilihat dalam konteks yang lebih besar: bagaimana Malaysia melatih generasi pemimpin muda yang bebas, progresif dan bertanggungjawab. Dalam iklim politik yang sering dicemari dengan kepentingan peribadi, inisiatif ini memberikan harapan, bahawa masa depan negara tidak lagi digerakkan oleh suara elit semata-mata, tetapi oleh suara rakyat muda yang tulen.
MPBN membuktikan bahawa perubahan sistemik tidak mustahil. Dengan pendekatan baharu ini, dasar belia tidak lagi ditentukan secara satu hala, tetapi melalui rundingan yang inklusif, telus dan demokratik. Perbezaan pendapat diraikan, bukan disisihkan.
Langkah ini wajar dijadikan model dalam pelantikan mana-mana badan perundingan kerajaan, bukan sahaja untuk belia, tetapi merentasi semua sektor masyarakat. Kerana akhirnya, integriti bukan pilihan. Ia kewajiban dalam membina masa depan Malaysia yang lebih adil, bijaksana dan bersatu.