Hentikan Bersyarah Kepada Ibu Bapa Bukan Islam Tentang Cara Mendidik Anak-Anak Mereka Mengenai Gaya Hidup Tidak Sihat

441875492 998002898363133 3436969266475046179 n

Orang bukan Islam, khususnya masyarakat Cina, kecewa dengan beberapa NGO dan pemimpin politik seperti mantan Menteri Pendidikan Maszlee Malik, Ketua Pemuda UMNO Dr Muhammad Akmal Salleh dan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor di atas syarahan mereka, dengan nada merendah-rendahkan dan kononnya bermoral tanpa faham isu asas tajaan pengumpulan dana oleh syarikat Tiger dan Carlsberg untuk sekolah Cina. Penajaan ini telahpun berjalan selama lebih 30 tahun di sekolah Cina mahupun sekolah vernakular oleh kedua-dua syarikat ini bagi membantu pengumpulan dana pembangunan yang amat mendesak, namun dengan angkuh sekali digelar mereka sebagai tidak sihat dan tidak beretika.

Ibu bapa ini amat tersiggung apabila disyarahkan tentang gaya hidup tidak sihat di dalam membesarkan anak-anak mereka sendiri baik di dalam sistem pendidikan vernakular Cina. Mereka sudah tentu sedar tentang kepentingan menjauhkan anak-anak daripada alkohol. Walau bagaimanapun, tidak ada sebarang kesalahan bagi mereka apabila syarikat-syarikat tersebut membantu di dalam memberikan tajaan untuk mengumpul dana, kerana ini merupakan isu kelangsungan bagi sekolah Cina.

Tanpa sebarang alternatif kepada derma orang ramai seperti ini tentu sekali akan menyebabkan sekolah Cina menjadi tidak teratur dan kucar kacir sehingga menjejaskan pembelajaran, kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan anak-anak mereka. Ramai juga ibu bapa ini beranggapan bahawa sekolah anak-anak mereka tidak memerlukan derma seperti ini sekiranya kerajaan persekutuan boleh menjamin untuk menampung kekurangan dana tersebut dengan peruntukan yang mencukupi.

Kita dapat melihat jurang budaya yang besar, menghampiri satu pertembungan nilai, antara penyokong dan penentang penglibatan syarikat Tiger dan Carlsberg, di dalam aktiviti menaja atau mengumpul dana untuk sekolah vernakular. Penentang rata-ratanya tidak tahu menahu tentang kekurangan dana pembangunan untuk sekolah Cina, hanya bergantung pada rasional moral untuk membantah penglibatan syarikat arak secara langsung atau tidak bagi membantu pengumpulan dana buat sekolah-sekolah ini.

Pihak penentang juga mendakwa mereka tidak punyai sebarang motif politik berdasarkan garis perkauman atau agama. Mereka cuba menutup kecaman mereka terhadap penglibatan syarikat-syarikat arak ini dengan menyatakan sebarang iklan yang memperlihatkan logo Tiger dan Carlsberg sebagai berbahaya kepada pendidikan dan kesihatan pelajar.

Hakikatnya, tidak ada mana-mana syarikat seperti ini menjual arak di sekolah Cina ataupun vernakular. Tidak ada lagi mana-mana pelajar pernah ditangkap minum atau mabuk di sekolah Cina seperti yang didakwa oleh Sanusi.

Pendanaan Awam Sepenuhnya Untuk Sekolah Vernakular Agar Mereka Tidak Perlu Bergantung Kepada Syarikat Arak Bagi Menaja Kutipan Dana.

Suara ‘lebih suci berbanding orang lain’ yang sebegitu lantang ini gagal menanggapi lantas memilih untuk mengabaikan sepenuhnya hakikat bahawa sekolah vernakular terpaksa beralih kepada derma orang ramai, termasuk aktiviti mengumpul dana yang melibatkan syarikat arak, hanya untuk terus bertahan. Perlu diingatkan bahawa syarikat Tiger dan Carlsberg telah berjaya mengumpulkan sebanyak RM981 juta sejak 1987 untuk sekolah-sekolah vernakular.

Syarikat Tiger telah berjaya mengumpul RM413 juta sejak 1994 bagi kegunaan 540 buah sekolah, iaitu sepanjang 30 tahun yang lalu. Carlsberg pula telah membantu mengumpul RM568 juta bagi 684 sekolah dalam tempoh 37 tahun yang lalu, iaitu sejak tahun 1987. Jumlah RM981 juta ini amat-amat kritikal berikutan kekurangan pembiayaan pembangunan daripada Kementerian Pendidikan sendiri.

Sebagai contoh, di dalam Belanjawan 2022, sejumlah RM120 juta diperuntukkan untuk sekolah vernakular (SJKC dan SJKT). Jumlah ini tentu sekali tidak mencukupi. Itupun akhirnya sekolah vernakular tidakpun menerima RM120 juta seperti yang dijanjikan, jumlah yang diterima hanyalah RM110 juta.

Ironi sekali tatkala mereka mengutuk sekolah vernakular kerana membenarkan syarikat-syarikat arak terlibat dalam menaja kutipan dana ini, tidak pula mendesak Kementerian Pendidikan untuk menampung kekurangan dana yang diterima daripada penajaan tersebut. Kenapa ada dwistandard ini?

Ibu Bapa Bukan Islam Sebenarnya Lebih Risaukan Soal Kelangsungan Dana Pembangunan Yang Sangat Diperlukan Oleh Sekolah Cina Dan Vernakular Berbanding Takut Pengaruh Syarikat Arak Terhadap Anak-Anak Mereka

Maka, apabila berhadapan dengan memilih antara isu etika membenarkan tajaan syarikat arak bagi aktiviti mengumpul dana, adakah suara moralistik ini mahu mencadangkan agar sekolah Cina dan vernakular memilih untuk gulung tikar tanpa sumbangan orang ramai kerana ianya “tidak sihat”?

Itulah sebabnya mengapa sejak 37 tahun yang lalu, ibu bapa bukan Islam ini telah menerima tajaan syarikat arak bagi aktiviti mengumpul dana ini tanpa membenarkan anak-anak mereka terpengaruh. Aturan yang setakat ini membuahkan hasil kerana belum pernah mana-mana ibu bapa di sekolah Cina ataupun vernakular yang membuat aduan anak-anak mereka telah dipengaruhi oleh syarikat arak ataupun mabuk disebabkannya.

Biarpun pegawai Menteri Pendidikan mendedahkan bagaimana PAS sebelum ini bersetuju dengan keputusan Kabinet untuk membenarkan amalan syarikat arak bagi menaja aktiviti pengumpulan dana untuk sekolah Cina, hal ini adalah tidak benar sama sekali. PAS secara berterusan membantah keputusan Kabinet, biarpun ini hanya membabitkan sekolah Cina dan juga bukan Islam. (Walhal sewaktu di tampuk kuasa pada tahun 2020-2022, PAS langsung tidak membantah syarikat arak mengumpul dana bagi kegunaan sekolah vernakular).

Ibu bapa bukan Islam tidak mahu melihat perkara ini terus dipolitikkan oleh mereka yang tidak tahu bagaimana sekolah Cina berusaha untuk beroperasi dengan mengharapkan kepada derma orang ramai untuk bertahan hampir 70 tahun. Dalam erti kata lain, ibu bapa bukan Islam tidak gusar tentang anak-anak mereka di sekolah Cina atau vernakular terpengaruh dengan syarikat arak, kerana mereka lebih risaukan mengenai kelangsungan sekolah ini tanpa dana pembangunan yang amat-amat diperlukan.

Dan ini adalah sentimen yang lazim dalam kalangan orang bukan Islam. Atau suara-suara yang mahu membantah keputusan Kabinet dan berterusan mahu sekolah Cina dan vernakular menghentikan penglibatannya dengan syarikat arak ini berhenti bersyarah dan berikan wang tersebut?

LIM GUAN ENG
Pengerusi Kebangsaan DAP
29 Julai 2024

Recommended Posts