“Himpunan Bangkit Umat” PN, Himpunan Terdesak

472313576 1026093379533081 5086451480453676941 n

Saya menonton Live Sidang Media yang dibuat oleh beberapa pimpinan Perikatan Nasional semalam ketika mereka berarak ke IPD Dang Wangi, dan pihak-pihak yang merasakan kononnya Melayu serta Islam semakin terancam di Malaysia hari ini.

Sidang media tersebut yang bertubi-tubi mencaci serta menghentam parti DAP dan beberapa pimpinan parti yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum serta agama Islam.

Benar kata aktivis politik Che Gubard yang turut hadir, “isu ini sudah lama”, katanya. Persoalan saya, mengapa sengaja digembar-gemburkan hingga menghimpun para penyokong dengan berucap seperti sedang berkempen pada ketika isu Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad yang kalah saman dan terbukti memfitnah tiga pimpinan DAP sedang hangat?

Usah memanipulasi masyarakat Melayu dengan agama untuk kredit politik masing-masing. Saya berharap rakan-rakan yang sebangsa juga seagama saya lebih terbuka dalam membuat penilaian.

Adakah ahli politik penganut agama serta bangsa lain tidak boleh sama sekali menyatakan pegangan serta kepercayaan mereka? Apakah di jabatan-jabatan serta kementerian tidak boleh merayakan festival agama atau kaum lain ketika pekerja-pekerja Kerajaan juga ada yang datang dari pelbagai latar belakang kaum, agama serta negeri?

Dengan persoalan-persoalan ini dan dengan kesedaran bahawa kita berkongsi langit yang sama di Malaysia ini, adakah “Himpunan Bangkit Umat” yang telah disertai lebih kurang 200 orang ini membangkitkan? Atau sekadar lebih memundurkan masyarakat Melayu dengan semangat perkauman yang melampau?

Malah, saya lihat serangan-serangan ke atas pimpinan-pimpinan DAP yang dibuat ini merupakan tindakan terdesak Perikatan Nasional dalam mendapatkan sokongan masyarakat Melayu dan saya bimbang ini juga boleh mencetuskan ketegangan dan perpecahan kaum yang lebih teruk.

Syaheera Ghafar
Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan

Recommended Posts