Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan penubuhan ‘Housing Outcome Performance Committee’ (HOPE) sebagai wadah bagi merancang dan merencana pelaksaan program atau aktiviti melibatkan sektor perumahan di negeri itu.
Ini diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S Sundarajoo, dalam rangka menepati halatuju dan dan visi Pembangunan Projek Perumahan Inklusif Madani selain mencapai Visi Penang 2030, serta manifesto kerajaan perpaduan.
HOPE akan berganding bahu bersama Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang bagi mencapai matlamat serta halatuju sektor perumahan di negeri itu.
Dalam perkembangan sama, Sundrajoo yang juga Adun Perai mengumumkan bahawa sebanyak 500 unit rumah Skim Perumahan Sewa Khas bagi golongan belia yang telah berkeluarga dan bujang akan dibina melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Giam di Jelutong.
Jelasnya, pembangunan akan dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) di kawasan seluas 0.81 hektar.
“Projek akan dilaksanakan dengan peruntukan RM100 juta yang telah diluluskan menerusi Program Sentuhan Kasih KPKT pada 23 Jun, membabitkan 2 blok yang dijangka bermula dalam masa terdekat dan mengambil masa hingga 36 bulan,” katanya, dilaporkan Bernama.
Projek tersebut membabitkan satu blok 45 tingkat berkeluasan 500 kaki persegi sebagai unit studio satu bilik untuk ditawarkan kepada kategori pemohon bujang manakala blok 44 tingkat berkeluasan 700 kaki persegi dengan tiga bilik kepada kategori pemohon belia berkeluarga.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan Pulau Pinang akan mewujudkan satu kategori baharu di bawah Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis B2 bagi memastikan lebih ramai rakyat negeri itu mampu memiliki rumah sendiri.
Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) telah melancarkan kempen untuk menggalakkan pemohon supaya mengemas kini data dalam Sistem Maklumat Perumahan (SMP) bagi membolehkan proses penawaran dibuat dan sebanyak 43,260 data pemohonan bagi RMM A, B dan C berada dalam sistem pangkalan data melalui SMP setakat 31 Ogos dan ada dalam kalangan mereka tidak mengemas kini maklumat sejak 1999.
“Setakat 31 Ogos, hanya 7,686 sahaja pemohon yang mengemas kini dan dikategorikan sebagai pemohon aktif. Pengemaskinian itu merupakan merit yang digunakan untuk menjadikan pendaftaraan dalam SMP kekal aktif dan dijadikan kekananan pemilihan penawaran,” katanya.