Hudud: Adakah Umno berbaloi untuk dipercayai?

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sekali lagi mengingatkan PAS agar tidak terpengaruh dengan ‘sokongan’ Umno dalam isu pelaksanaan hudud yang jelas berniat untuk menimbulkan perpecahan dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, Umno sebelum ini bertegas tidak ingin melaksanakan undang-undang itu walau pun berkemampuan berbuat demikian.

“Pada 25 September 2011, kerajaan mengisytiharkan tidak akan menguatkuasakan hudud di Malaysia. Ternyata Umno tiada prinsip dan kini hanya menyokong hudud untuk membuat perangkap politik terhadap PAS, untuk melaga-lagakan PAS dengan DAP dan memecahkan Pakatan.

“Jika PAS terus bersama-sama dengan Umno, ia akan dilihat sebagai mudah terpedaya, malah mengkhianati pengundi bukan Islam. Itu akan memudahkan Umno untuk menghancurkan Pakatan.

“PAS perlu seirus bertanya pada diri sendiri, ‘Adakah Umno berbaloi untuk dipercayai?’” tegasnya dalam satu kenyataan.

MCA bisu dengan sokongan UMNO

Ahli Parlimen Bagan itu turut menyifatkan MCA sebagai terlalu terdesak untuk kembali dilantik ke dalam kabinet kerajaan, sehingga sanggup menggadaikan prinsip dengan membisu terhadap sokongan Umno berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan.

Guan Eng berkata, tiada sekali pun pimpinan MCA bangun mengkritik Umno yang secara terbuka menyokong hudud.

“Sejak lima minggu lalu bermula 27 Mac, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai gagal mengkritik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan menteri lain (yang membuat kenyataan).

“Beliau juga gagal membantah Jamil berhubung (cadangan) penubuhan jawatankuasa teknikal hudud antara kerajaan pusat dan kerajaan Kelantan pada 2 Mei lalu,” katanya.

Jelas, katanya lagi, kebimbangan MCA bahawa parti itu tidak akan mendapat sebarang jawatan dalam kabinet telah menyebabkan pimpinannya takut untuk melawan Umno yang menghasut PAS untuk melaksanakan hudud di negeri itu.

Guan Eng merujuk kenyataan Jamil pada 27 Mac lalu di Parlimen, bahawa kerajaan BN akan menyokong sebarang usaha PAS Kelantan untuk melaksanakan hudud yang menjadi pencetus isu ini kembali berbangkit.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu ucapannya semalam mempelawa MCA untuk kembali menyertai kabinet, bertentangan dengan keputusan parti itu sebelum ini yang enggan dilantik dalam jemaah menteri ekoran kekalahan memalukan dalam Pilihanraya Umum ke-13. – Roketkini.com

Recommended Posts