Hukum peniaga penipu, tak perlu pecah belah masyarakat

473425191 956419466470166 1758150622375327964 n

Pemimpin Pemuda UMNO perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat supaya tindakan tegas dapat dikenakan kepada peniaga dan pembekal yang menipu pengguna.

Saya merasa terpanggil untuk mengulas mengenai kenyataan balas Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh dan Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin terhadap teguran oleh Ketua DAPSY Malaysia, Sdr Woo Kah Leong.

Kenyataan oleh Sdr Woo Kah Leong dengan jelas adalah satu teguran untuk pemimpin pemuda menurunkan suhu politik dan bukannya menjadi politikus yang mengambil kesempatan untuk mengeruhkan keadaan. Isu penjualan pek sandwic di KK Mart sudah pun diambil tindakan awal oleh pihak universiti dengan arahan penutupan serta merta. Pihak JAKIM pula telah pun menjalankan siasatan ke atas pihak pembekal sandwic tersebut.

Oleh itu, teguran oleh Sdr Woo Kah Leong agar Dr. Akmal Saleh tidak menggunakan isu ini untuk kepentingan politik peribadi beliau adalah wajar. Apakah kita mahu mencetuskan perpecahan dengan menimbulkan syak wasangka antara kaum, kononnya ada muslihat sehingga Ketua Pemuda UMNO menyebut tentang ‘luka lama’ yang belum sembuh?

Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin pula janganlah terlalu mudah sentap hingga setiap teguran baik dilihat sebagai serangan. Sebaliknya cerminlah diri sendiri dan Ketua Pemuda UMNO anda yang dilihat lebih gelojoh menyerang sehinggakan tumpuan bukan lagi kepada usaha untuk mengenal pasti punca bagaimana kesilapan ini boleh berlaku – Siapa pembekal yang terlibat? Siapa di pihak pembekal dan siapa di pihak peniaga yang bertanggungjawab? Mengapa tiada proses semakan yang dilakukan? Soalan-soalan ini wajar ditanya tanpa mengapi-apikan sentimen mana-mana pihak.

Kita semua menyokong agar tindakan undang-undang yang tegas dikenakan terhadap peniaga yang menipu. Saya menggesa semua pihak agar meletakkan kepercayaan kepada agensi-agensi penguatkuasaan Kerajaan bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

Iskandar Fareez
Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan
Ketua DAPSY Bukit Bintang

Recommended Posts