
SEREMBAN, 31 JULAI: Seorang ibu kesal dengan sikap seorang guru sebuah sekolah menengah di Mantin, Negeri Sembilan yang menampar pipi anak lelakinya, pelajar Tingkatan Satu sekolah itu tanpa alasan munasabah.
Pada sidang media yang diatur Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Nilai, Arul Kumar, semalam, ibu pelajar terbabit, Tai Wai Sin, 42, berkata, anak lelakinya mengadu dia ditampar oleh seorang guru sekolah itu minggu lalu sedangkan kesalahannya kecil.
Wai Sin berkata, kejadian itu berlaku kerana anaknya duduk tanpa kebenaran guru ketika sedang mengikuti kelas Geografi yang dikendalikan guru berkenaan.
“Anak saya memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 8.45 pagi ketika seorang guru wanita mengajar subjek geografi masuk ke kelas untuk memulakan pengajaran dan meminta semua pelajar berdiri dan guru itu kemudian keluar untuk ke tandas tanpa meminta semua pelajar duduk.
“Disebabkan kaki anak saya cedera selepas bermain bola sepak, anak saya duduk sementara menunggu guru wanita itu masuk semula ke kelas. Sebaik sahaja guru wanita itu masuk dia mendapati anak saya sedang duduk bersama beberapa pelajar lain, lalu guru wanita itu menghubungi seorang guru lain dan selang beberapa minit datang seorang guru lelaki dan memanggil anak saya keluar daripada kelas itu.
“Sebelum itu anak saya nampak guru wanita itu menangis. Disebabkan anak saya kurang fasih berbahasa, maka dia menerangkan kepada guru lelaki itu menggunakan isyarat tangan dan tiba-tiba guru lelaki itu marah lalu menampar pipi serta memukul kepala anak saya,” jelasnya.
Wai Sin kecewa apabila guru yang terbabit menampar pipi anaknya menafikan insiden itu manakala guru wanita itu pula cuba menyembunyikan kejadian sebenar.
“Guru itu mendakwa saya anak saya yang membuat cerita. Jika anak saya duduk tanpa kebenaran sekalipun, ia bukan satu kesalahan besar.
“Jika betul anak saya nakal atau buat salah, guru berkenaan boleh mendenda anak saya, tetapi tidak perlu hingga menampar atau memukulnya,” katanya.
Sementara itu, Arul Kumar yang juga bekas guru berkata, adalah tidak munasabah untuk menampar dan memukul seorang pelajar kerana kesalahan kecil seperti itu.
“Guru tidak boleh menampar pipi atau pukul kepala pelajar, kecuali hanya boleh merotan di tangan atau kaki, itu pun mengikut keseriusan kes disiplin pelajar,” ujarnya. -Roketkini.com