DAP desak kerajaan iktiraf jawatan ketua pembangkang

KUALA LUMPUR, 23 OKTOBER: DAP memohon kerajaan mengiktiraf jawatan Ketua Pembangkang Parlimen dengan status bertaraf menteri Kabinet.

Ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen DAP Batu Kawan, Kasthuri Patto pada sidang media bersama hari ini menegaskan kerajaan harus mengiktiraf jawatan itu sebagai penghormatan kepada institusi pembangkang yang merupakan intipati penting dalam sebuah sistem demokrasi matang.

Menurut mereka, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu melakukannya ketika mengumumkan Belanjawan 2014, Jumaat ini.

IMG_2603Kor Ming menegaskan sudah tiba masanya kerajaan melakukan pembaharuan supaya amalan demokrasi Malaysia setaraf dengan negara Komanwel yang mewarisi sistem demokrasi Westminster.

“Di Britain, institusi ketua pembangkang bukan sahaja diberi pengiktirafan secara rasmi, emolumen dan elaun yang dibayar juga setaraf dengan menteri, bezanya hanya empat peratus.

“Sekiranya dibanding dengan New Zealand dan Kanada, institusi Ketua Pembangkang kedua-dua negara itu menikmati status menteri,” katanya yang juga Penolong Bendahari Kebangsaan DAP,” katanya.

Selain itu, Kor Ming juga menyatakan kerajaan juga harus mengambil contoh Parlimen Australia yang mana ketua pembangkang mereka diberi peruntukan tahunan sehingga pejabat beliau mempunyai pasukan petugas seramai 39 orang.

“Sumber manusia yang memadai membolehkan ketua pembangkang menjalankan tugas dan memainkan peranan ‘check and balance’ ke atas kerajaan secara efektif.

“Kita lihat di Malaysia, institusi ketua pembangkang amat ketinggalan. Bukan sahaja tidak ada sebarang peruntukan, malah pejabatnya hanya mempunyai tiga orang pembantu.

“Keadaan ini tentunya menyukarkan pembangkang menjalankan pemeriksaan ke atas kerajaan khususnya berbanding Jabatan Perdana Menteri sahaja mempunyai lebih 90,000 pekerja dan jumlah bajet pengurusan melebihi RM4.2 bilion setahun,” ujarnya.

IMG_2621Pada masa sama, Kasthuri menggesa Najib memberi pengiktirafan itu jika benar beliau berpegang bahawa Malaysia adalah negara demokrasi bertaraf dunia.

“Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Pulau Pinang dan Selangor memberi pengiktirafan kepada jawatan ketua pembangkang tapi malangnya ini tidak berlaku di negeri lain di bawah pentadbiran UMNO/BN. Keadaan ini adalah amat tidak wajar sekali dan perlu diperbetulkan.

“Najib dan UMNO/BN wajar mencontohi Selangor yang mengiktiraf peranan Ketua Pembangkang dengan memberi elaun tetap, elaun pemandu, elaun Setiausaha Kerja, kereta rasmi kerajaan dan elaun lain.

“Jika Najib tidak tahu bagaimana untuk melaksanakannya, saya yakin Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersedia membantu dan berkongsi dengan beliau,” tegasnya.-Roketkini.com

Recommended Posts