Inilah kisah Dr. Chen Man Hin

whatsapp image 2023 05 24 at 11.48.56

Bagi generasi muda zaman sekarang, mungkin ada yang tak pernah dengar nama Dr. Chen Man Hin.

Merupakan penasihat seumur hidup DAP selepas persaraannya, beliau adalah nama yang tak harus kita lupakan atas perjuangan dan pengorbanannya memajukan bangsa Malaysia yang memperjuangkan keadilan, demokrasi dan keamanan selaras dengan perjuangan DAP.

Beliau merupakan seorang rakyat Malaysia yang percaya dengan konsep “Malaysia first”, atau “pertamanya, rakyat Malaysia” sebagai anak jati Malaysia. Pendidikan awal beliau adalah di Sekolah Rendah Ulu Langat, Selangor sebelum berpindah ke Seremban.

Setelah tamat sekolah menengah, beliau meneruskan pengajian di Universiti Malaya Singapura dengan bantuan kewangan dari bapa saudaranya. Pelajaranlah yang menjadi batu loncatannya untuk pergi lebih jauh.

Sebenarnya, ada sebab kenapa beliau memilih untuk menjadi seorang doktor. Ketika beliau berumur 7 tahun, ibunya meninggal dunia disebabkan jatuh sakit. Peristiwa inilah yang menjadi inspirasi kepada beliau untuk menjadi seorang doktor dan membantu pesakit yang tak mampu untuk mendapatkan rawatan.

Atas kerja kerasnya, beliau berjaya membuka klinik sendiri di Seremban selepas tiga tahun berkhidmat sebagai doktor di hospital kerajaan. Di kliniknya, beliau sering memberikan rawatan perubatan percuma terutamanya kepada golongan miskin yang sangat memerlukan. Perkara inilah yang menyebabkan penduduk tempatan sangat menghormati dan mengingati jasa beliau sehingga kini.

Sebagai ahli politik dan juga doktor, beliau juga percaya pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat miskin ini hanya boleh diatasi melalui perjuangan politik.

chen man hin1

Kata beliau, “Saya dapati kebanyakan yang datang berjumpa saya adalah orang miskin. Mereka miskin dan sakit dan saya menyedari bahawa mereka sakit kerana kemiskinan dan tinggal di kawasan setinggan. Jadi, saya rasa saya perlu mengambil bahagian dalam hal ehwal masyarakat.”

Berbalik kepada kisah politiknya bersama DAP, Dr Chen kemudiannya menubuhkan DAP di mana perjuangannya adalah demi keadilan dan kepentingan orang miskin di Malaysia.

Pada 1965, Dr. Chen menawarkan diri untuk bertanding dalam kerusi DUN di PRK Rahang. Pada masa itu, DAP belum sempat berdaftar sebagai ahli politik. Jadi, beliau bertanding sebagai calon bebas dengan menggunakan bunga plum sebagai simbolnya, menewaskan calon MCA. Kejayaan inilah yang membantu membuka tirai bagi Parti DAP dalam arena politik Malaysia.

Akhirnya pada 18 Mac 1966, Parti DAP berjaya didaftar secara rasmi dan beliau dipilih sebagai Pengerusi Kebangsaan. Beliau kemudian bertanding dalam PRU 1969 di DUN Rahang, Negeri Sembilan dan menang. Selain itu, Dr. Chen juga menang kat Parlimen Seremban Timor dalam pertandingan 3 penjuru. Bila Parlimen tu ditukar kepada Seremban pada PRU 1974, di mana beliau sekali lagi mempertahankan jawatannya.

Tapi hidup tak selalu indah. Ketika berlakunya tragedi 13 Mei 1969, DAP hampir saja berkubur disebabkan pelbagai tuduhan tak berasas yang dilemparkan. Namun, kepimpinan Dr. Chen membolehkan parti DAP bertahan sepanjang tempoh sukar ini.

Bila ditanya tentang politik DAP, beliau menjawab,

“Politik DAP bukan bersifat peribadi. Ia tentang masa depan negara. Kita nak negara yang bagaimana? Jadi, DAP ada visi di mana kita memperjuangkan negara berbilang kaum, di mana kita semua bersatu padu, dan mempunyai masa depan.”

“Mereka memilih kita untuk pastikan kita berikan mereka perubahan, dan jika kita teruskan dengan tujuan ini – UBAH! Kita akan berjaya, KITA SEMUA!

Dr Chen berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Seremban Timor dari 1969 hingga 1974. Kemudian sebagai Ahli Parlimen Seremban dari 1974 sehingga 1990. Selama lebih tiga dekad, Dr. Chen berkhidmat sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP, yang menjadi tonggak kuat parti, dan merupakan suara rakyat dari dalam dan luar Parlimen.

Bagaimanapun pada 2 Disember 1999, Dr Chen mengambil keputusan menarik diri dari aktif dalam bidang politik. Tapi khidmatnya masih diperlukan, jadi Dr Chen dilantik sebagai penasihat seumur hidup DAP, di mana beliau masih mengambil berat dalam urusan parti.

Perjalanan hidup Dr. Chen seperti merentasi masa, di mana beliau telah menyaksikan zaman penjajahan Jepun dan British, kemerdekaan Malaya, dan pemisahan Singapura dari Malaysia. Malah, beliau juga terpaksa berhadapan dengan tragedi 13 Mei dan Operasi Lalang. Ia bagaimanapun tak melunturkan semangatnya untuk terus berjuang demi Malaysia yang lebih sejahtera.

chenman

Malah beliau mengakui;

“Saya seorang Malaysian, saya cuba lakukan sesuatu untuk negara kerana saya cintakan negara ini. Saya suka orang yang tinggal di sini terutamanya orang Malaysia. Sama ada Cina, India, Melayu. Mereka semua kawan saya, orang saya yang saya mahu berbakti.

Walaupun kurang bergiat aktif ketika tahun-tahun terakhirnya, namun beliau masih mahu membantu masyarakat sekeliling yang memerlukannya, iaitu dengan memberi rawatan percuma di kliniknya. Bayangkan ketika beliau berumur 92 tahun, Dr. Chen masih lagi setia berada di kliniknya di Jalan Tuanku Munawir, Seremban. Orang ramai juga masih lagi datang ke ‘Gedung Perubatan Chen’ yang masih tertulis di depan kliniknya itu dalam tulisan jawi.

Bagaimanapun beliau akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya beberapa tahun selepas itu, iaitu pada 17 Ogos 2022, semasa berumur 97 tahun. Lim Kit Siang yang sempat memberi penghormatan terakhir bercerita,

“Dr. Chen berjuang untuk seluruh rakyat Malaysia selama empat dekad tanpa meminta apa-apa sebagai balasan untuk dirinya sendiri. Malaysia memerlukan lebih ramai Dr. Chen Man Hin jika negara ingin mencapai potensinya dan menjadi negara hebat bertaraf dunia.” – Lim Kit Siang.

Pemergian tokoh yang amat dikasihi ini bukan saja diingati oleh kawan, tapi juga lawan politiknya. Menurut Tan Sri Rais Yatim, mendiang yang juga doktor perubatan adalah ahli politik yang tulen dalam perjuangannya dan banyak memasukkan nilai-nilai kepelbagaian kaum dalam DAP.

“Man Hin dianggap sebagai pengimbang dalam parti ketika Lim Kit Siang lebih ke hadapan semasa menjadi Setiausaha Agung DAP.

“Semasa kami sama-sama dalam pembangkang, mendiang sering berganding dengan kami untuk menegakkan kepelbagaian kaum sebagai usaha sosial,” – Rais Yatim.

*Untuk artikel lebih lanjut, boleh baca penulisan Saudara Izmil Amri di sini:*


Anda juga boleh mengetahui lebih lanjut tentang tokoh DAP seperti Dr. Chen Man Hin dan ramai lagi dalam Tokoh: Jatuh Bangun Veteran DAP! Klik pautan di imej untuk dapatkan buku ini.

5f23d5f9 7b25 4713 b91a 699057c546b6 2 1

Recommended Posts