Saya amat sedih dengan insiden tragis di Sungai Batang Kayan sekitar jam 6.30 pagi tadi, yang melibatkan sebuah bot penambang yang membawa seramai 16 penduduk Kampung Selampit termasuk seorang operator bot, terbalik dan menyebabkan kesemua mangsa tercampak ke dalam sungai. Setakat ini, 13 mangsa telah pun diselamatkan manakala tiga lagi mangsa yang merupakan pelajar sekolah yang sedang dalam perjalanan mereka ke sekolah pagi tadi masih belum lagi ditemui.
Walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini pihak Bomba termasuk perkhidmatan anjing K9, Polis, APM, KKM, PPD Lundu, RELA, Lembaga Sungai, PPDA, dan penduduk kampung sedang berkerja keras mencari dan menyelamat bagi mengesan pelajar-pelajar yang masih hilang.
Saya ingin mendesak dan menyeru kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Majlis Perancangan Negeri (SPA), pihak JKR, dan semua pihak-pihak yang berkaitan untuk tidak melengah-lengahkan lagi projek pembinaan Jambatan Selampit dan Jalan Kendaie/Selampit yang sudah seringkali saya utarakan pada setiap kali di persidangan Parlimen. Perkara seperti insiden inilah yang kita tidak mahu dan cuba elakkan daripada berlaku. Sampai bilakah penduduk di kampung-kampung sekitar Sungai Batang Kayan ini harus menunggu lagi? Sampai berapa ramai lagi mangsa-mangsa yang perlu terkorban?
Projek Pembinaan Jambatan Selampit ini telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11). Namun begitu, sehingga ke hari ini, belum ada sebarang tanda bahawa projek ini akan dimulakan. Sebagai wakil rakyat, saya telah berulang kali membangkitkan isu ini dalam Parlimen, tetapi malangnya, projek ini terus tertangguh akibat kelewatan dalam proses kelulusan tapak oleh Majlis Perancangan Negeri (SPA).
Sejak tahun 2018, permohonan kelulusan tapak telah dibuat sebanyak empat kali, namun proses ini dilihat mengambil masa yang tidak masuk akal. Adakah terdapat unsur-unsur yang sengaja melewatkan atau menghalang pelaksanaan projek ini? Jika proses kelulusan tapak ini tidak dilengahkan, sudah tentu Projek Jambatan Selampit telah pun siap dan insiden yang menyayat hati seperti ini mungkin dapat dielakkan.
Tambahan lagi, walaupun projek ini telah mendapat kelulusan SPA pada 27 September 2022, kos pembinaan yang asalnya bernilai RM27.93 juta kini sudah tidak mencukupi untuk diteruskan. Projek ini kini memerlukan tambahan kos sebanyak RM14.1 juta, menjadikan jumlah keseluruhan kos meningkat kepada RM42.03 juta. Kenaikan kos ini adalah disebabkan perubahan jajaran dan lokasi projek serta peningkatan kos binaan. Saya bimbang jika kelewatan ini terus berlarutan, kos projek ini akan terus meningkat, dan yang lebih penting, nyawa serta keselamatan penduduk akan terus terancam.
Saya ingin menegaskan bahawa nyawa dan keselamatan penduduk di kawasan ini tidak sepatutnya dipolitikkan. Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan perlu menggunakan kuasa yang ada dengan penuh tanggungjawab untuk memastikan projek-projek ini disegerakan. Ini bukan soal politik, tetapi soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Sebagai wakil dan suara rakyat, saya akan memastikan bahawa segala bentuk sokongan dan bantuan disalurkan kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden ini. Pada masa yang sama, saya juga ingin menggesa semua pihak yang menggunakan pengangkutan sungai agar lebih berhati-hati dan mengambil langkah-langkah keselamatan, terutamanya ketika membawa pelajar-pelajar ke sekolah bagi mengelakkan insiden seperti ini berulang.
Memandangkan saya sekarang berada di Denmark atas urusan kerja, saya ingin menyeru agar seluruh warga Selampit untuk bersatu hati dalam menghadapi saat-saat sukar ini dan marilah kita sama-sama berdoa agar semua yang terlibat diberikan kekuatan serta ketabahan.
Mordi Bimol
Ahli Parlimen Mas Gading