
Empat pemimpin Melayu DAP tampil mengutuk sekeras-kerasnya satu lagi insiden penghinaan terhadap al-Quran yang didakwa berlaku di Sabah, sambil menegaskan bahawa pihak berkuasa mesti bertindak pantas, tegas dan tanpa kompromi terhadap pelaku.
Mereka ialah Naib Pengerusi Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan; Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali; serta Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.
Kesemua mereka melihat insiden itu bukan sekadar satu perbuatan biadab terhadap kitab suci umat Islam, tetapi juga ancaman serius terhadap keharmonian kaum dan agama di Malaysia.
Syahredzan dalam kenyataannya di Balakong pada 11 Mac 2026 berkata, insiden seperti ini menunjukkan wujud pihak yang “semakin berani mengganggu gugat keharmonian negara dan mencabar apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan”.
Beliau menegaskan bahawa “sebarang hinaan serta provokasi agama tidak boleh diterima oleh masyarakat Malaysia yang majmuk dan cintakan keamanan”.
Beliau turut menggesa agar “the full force of the law” digerakkan segera, termasuk oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), supaya isu provokasi kaum dan penghinaan agama dapat ditangani secara menyeluruh sebelum merebak menjadi konflik yang lebih besar.
Dalam nada yang sama, Young Syefura menyifatkan perbuatan memijak dan mencoret al-Quran dengan lukisan tidak senonoh sebagai tindakan “amat biadab, tidak bertanggungjawab, dan provokatif”.
Menurut beliau, pelaku mesti segera dihadapkan ke muka pengadilan bagi memberi isyarat jelas bahawa penghinaan terhadap mana-mana agama sama sekali tidak akan dibiarkan.
Sheikh Umar pula menegaskan bahawa ini bukan lagi kes terpencil. Katanya, selepas beberapa insiden sebelum ini, kejadian terbaru membuktikan ada pihak yang semakin berani mencabar sensitiviti agama dan keamanan rakyat berbilang kaum.
Beliau turut mendesak platform media sosial bekerjasama dengan SKMM untuk menurunkan kandungan berunsur penghinaan agama dengan segera.
Syerleena Abdul Rashid pula mengingatkan bahawa tiada kompromi dalam soal penghinaan agama, sama ada melibatkan al-Quran mahupun simbol agama Hindu.
Baginya, tindakan seperti ini ialah perlakuan “sangat jijik dan berniat jahat” yang wajib dilawan agar tidak membawa kepada pergaduhan fizikal.
Pendirian empat pemimpin ini jelas iaitu penghinaan agama, walau terhadap agama apa sekali pun, mesti ditolak bersama demi mempertahankan keamanan negara.



