Integrasi hospital awam-swasta dialu-alukan

Oleh B. Suffian

Hasrat Kementerian Kesihatan untuk mengintegrasikan sistem hospital awam dan swasta untuk merawat kes-kes serius Covid-19 menjelang minggu hadapan adalah dialu-alukan, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang. 

Veteran DAP itu berkata, ini memandangkan perkara tersebut adalah langkah pertama ke arah pendekatan yang melibatkan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’ dalam perang melawan Covid-19, yang sepatutnya diguna pakai sejak sepuluh bulan lepas lagi. 

“Kini apabila kita telah mula melaksanakan proses ini untuk memastikan kita berjaya mengekang wabak ini, kita perlu meluaskan liputan dan saiz proses ini. 

“Ini untuk melibatkan pemain utama seperti parti politik, badan-badan kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sektor korporat, dan para pelabur berserta dengan pemanggilan sidang khas Parlimen untuk berbincang mengenai wabak Covid-19 sebagai platform untuk pendekatan dan strategi ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Kit Siang berkata, terdapat kerisauan mengenai kekurangan ujian saringan yang dijalankan di Malaysia sejak daripada November yang perlu segera ditangani. 

Menurutnya, laman web CodeBlue melaporkan, untuk tempoh selama 10 minggu sejak daripada 6 November, kadar positif Covid-19 di Malaysia berada di atas paras lima peratus, melebihi sasaran maksimum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Kadar positif ujian saringan Covid-19 di Malaysia iaitu peratusan ujian yang disahkan positif kata beliau, kekal di atas paras lima peratus sejak 6 November, menggunakan kadar purata-bergerak tujuh hari, memuncak kepada 9.1 peratus pada 1 Januari tahun ini. 

“Kadar positif ini kemudiannya turun kepada enam peratus pada 18 Januari,” katanya. 

Beliau, berkata, dengan cadangan WHO supaya kadar positif itu dikekalkan pada tahap bawah lima peratus, ini bermakna negara kita tidak menjalankan ujian saringan secukupnya untuk mengenal pasti kes-kes ringan dan tidak bersimptom. 

“Sejak daripada bulan November, angka purata harian yang dilaporkan di Malaysia terus meningkat daripada purata 1,089 kes di antara 6 sehingga 19 November, kepada 3,148 di antara 8 sehingga 21 Januari 2021.

“Walaupun angka ini kelihatan tinggi, hakikat di mana kita tidak menjalankan ujian saringan secukupnya bermakna angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi,” katanya. 

Jelasnya, peningkatan tinggi kes harian yang berterusan dan sambungan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan kedua (PKP 2.0) sehingga 4 Februari perlu meyakinkan Kabinet bahawa wabak Covid-19 perlu menjadi keutamaan tertingginya, jika kita tidak mahu Malaysia dilanda bencana Covid-19. 

“Penting juga untuk memastikan rakyat secara amnya terus mempunyai kepercayaan dan keyakinan dalam strategi dan pendekatan yang melibatkan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’. 

“Wabak Covid-19 ini tidak sepatutnya dieksploitasikan untuk membolehkan perlakuan penyalagunaan kuasa, penipuan, atau apa-apa tindakan diskriminasi terhadap mana-mana kaum, agama, atau mana-mana sektor penduduk majmuk di Malaysia,” katanya. – Roketkini.com

Recommended Posts