Isu kerusi kembar pawagam: Larangan, sekatan bukan cara terbaik didik anak muda

DAP adalah parti politik yang memperjuangkan hak individu dan masyarakat yang merangkumi semua kaum, gender dan agama, dan bukan demi pihak tertentu sahaja.

Sehubungan itu, DAP melalui sayap pemudanya (DAPSY) Perak membantah perbuatan pengurusan pawagam Lotus Five Star Cinemas (LFS) di Seri Iskandar, Perak yang melarang pasangan yang tidak berkahwin daripada menggunakan kerusi berkembar atau “couple seat”.

DAPSY Perak difahamkan bahawa larangan itu dibuat atas nasihat Majlis Daerah Perak Tengah.

DAPSY Perak tidak pasti mengapa larangan itu dibuat tetapi jika alasannya ialah untuk mengatasi “gejala sosial”, ia adalah keputusan yang tidak tepat kerana mengabaikan gambaran keseluruhan yang lebih kompleks.

Terutamanya sekali, Akta Kerajaan Tempatan 1976 sama sekali tidak memberi sebarang kuasa kepada mana mana kerajaan tempatan untuk mengawal dan menguatkuasakan moral dan akhlak. Maka, Majlis Daerah Perak Tengah tidak berhak mengeluarkan arahan mahupun nasihat sebegitu, dan ia jelas telah merentasi bidang kuasa dan bidang kerjanya.

DAPSY beranggapan sekatan dan larangan bukan cara terbaik mendidik anak muda. Sekatan dan larangan hanya memberi alasan untuk mereka memberontak.

Memilih pawagam sebagai sasaran, malah menjadikan “couple seat” sebagai punca masalah sosial adalah sesuatu yang dangkal.

Mengunjungi pawagam merupakan aktiviti berhibur biasa anak muda, walau apa pun kaum, agama dan pegangan hidup mereka.

Jika “maksiat” yang dibimbangkan, mengapa larangan itu simplistik dan hanya “couple seat”?

Jika “gejala sosial” dibimbangkan, adakah pawagam tempat anak muda belajar rasuah dan korupsi, mengenali perkauman dan politik benci dan mahu mencuba salah guna kuasa?

Jangan bantutkan minda anak muda, jangan layan anak muda seperti haiwan peliharaan. Setiap generasi muda punya aspirasi, cita-cita dan matlamat sendiri. Pihak atasan atau yang lebih tua mungkin lupa bahawa ketika mereka muda dulu, mereka juga turut berhibur bersama kawan-kawan.

DAPSY Perak memohon pihak pengurusan pawagam supaya menarik balik larangan itu. Ada banyak cara lain yang lebih munasabah untuk mengatasi “gejala sosial”.

Malah, lebih baik ditanya sendiri dengan anak-anak muda tentang apa yang mereka mahu. – Roketkini.com

 

* Penulis adalah Setiausaha DAPSY Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pinji, Perak.

Recommended Posts