Orang lain bagi pendapat tukar nama KTM. Tapi, Anthony Loke yang dipersalahkan?

whatsapp image 2025 04 24 at 2.15.18 pm

Baru-baru ini, tular cadangan untuk menukar nama Keretapi Tanah Melayu (KTM) atas alasan kononnya nama tersebut “ketinggalan zaman”. Rentetan itu, media sosial meledak dengan pelbagai kecaman – ada yang menyalahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, ada juga yang cuba mengaitkannya dengan DAP dan kononnya usaha senyap mengubah identiti negara. Tak kurang juga yang cuba membawa naratif konspirasi berkait lawatan Presiden China, Xi Jinping. Tetapi siapa sebenarnya yang mulakan cadangan ini?

Yang menariknya, cadangan tersebut tidak datang dari mana-mana kementerian pun. Bukan juga hasil mesyuarat Kabinet. Ia hanyalah pandangan peribadi yang diluahkan oleh seorang individu bernama Johnson Fernandes – seorang bekas wartawan. Tulisan itu diterbit oleh pihak Free Malaysia Today dengan tajuk, “What’s in a name? A journey beyond the tracks.”. Dalam tulisannya, beliau menceritakan tentang perbualan dengan cucunya yang mempersoalkan istilah “kereta api”, dan dari situ timbul saranan supaya nama KTM diperbaharui agar lebih sesuai dengan era moden.

Namun sayangnya, ramai yang terus melompat ke kesimpulan – seolah-olah kerajaan sudah sedia menukar nama KTM. Yang menjadi mangsa tuduhan: Anthony Loke.

Sungguh tidak adil apabila seorang menteri yang tidak pernah pun menyuarakan hasrat untuk menukar nama KTM, tiba-tiba dijadikan kambing hitam dalam isu ini. Lebih ironis lagi, pada masa yang sama, Anthony Loke sebenarnya sedang bekerja keras dengan agenda besar – menaik taraf sistem kereta api negara yang telah lama terabai.

Dalam beberapa kenyataan sebelum ini, Anthony Loke menegaskan bahawa fokus beliau adalah pada penambahbaikan perkhidmatan. Beliau mengumumkan penambahan 62 set tren penumpang baharu dengan kos RM10.7 bilion, melalui kaedah pajakan antara kerajaan Malaysia dan China.

Bagi tempoh Fasa 1 iaitu dari 2024 hingga 2027 pelaksanaan strategi baharu itu menyasarkan penambahan 62 set tren penumpang baharu dengan anggaran kos RM10.7 bilion, yang akan ditampung secara ansuran selama tempoh pajakan 30 tahun.

Perjanjian ini bukan sahaja mengelakkan perbelanjaan besar dalam jangka masa pendek, malah memberikan peluang kepada rakyat menikmati sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan selesa.

Kita juga menyaksikan ETS kini berkembang dengan pesat. Dua tren elektrik baharu dari China bakal beroperasi Ogos ini, manakala lapan lagi sedang dipasang di Batu Gajah, Perak. Bagi laluan selatan pula, fasa pertama dari Gemas ke Segamat sudah pun dibuka, dan akan diteruskan ke Kluang dan Johor Bahru secara berperingkat.

Selain tren, Loke turut mengumumkan pembinaan jejambat menghubungkan stesen kereta api Segamat dengan terminal bas berdekatan, dengan kos RM300,000. Ini semua inisiatif konkrit untuk meningkatkan integrasi sistem pengangkutan awam demi kemudahan rakyat.

Jadi, kenapa kita masih bising tentang nama?

Adakah lebih penting kita ubah jenama, atau kita ubah mutu perkhidmatan? Bukankah selama ini rakyat sering mengeluh tentang kelewatan tren, sistem yang ketinggalan zaman, dan kurang mesra pengguna? Apabila kerajaan mengambil langkah drastik untuk memperbaiki semua ini, mengapa pula isu remeh seperti nama lebih diberi perhatian

Realitinya, orang ramai mudah terpengaruh dengan tajuk sensasi dan naratif politik yang memecah belah. Di sinilah pentingnya kita semua belajar menilai sesuatu isu dengan lebih kritikal. Bukan semua yang tular di media sosial datang dari sumber sah. Bukan semua yang dicanang itu dasar kerajaan.

Kita harus juga bezakan antara pandangan peribadi seorang individu dengan keputusan rasmi sesebuah kementerian.

Anthony Loke sedang bekerja keras untuk memperbetul sistem pengangkutan awam negara. Beliau berada di lapangan, menaiki ETS, memeriksa fasiliti, melancarkan projek sambungan dan penambahbaikan. Beliau tidak duduk diam mencipta polemik nama.

Maka, wajarlah kita memberi tumpuan kepada usaha yang memberi impak langsung kepada kehidupan seharian rakyat.

Recommended Posts