
Saya membaca dengan teliti kenyataan media Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai pelantikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Datuk Mohammed sebagai pemangku Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan. Akan tetapi, saya mendapati bahawa terdapat beberapa perkara yang tidak tepat dalam kenyataan tersebut.
Pertama, Datuk Seri Takiyuddin disarankan untuk membaca Akta Mahkamah Kehakiman 1964, khususnya Seksyen 9 yang menyatakan bahawa dalam situasi kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, kuasa dan tanggungjawab kedua jawatan ini akan dilaksanakan oleh Hakim Besar Malaya.
Oleh yang demikian, tiada yang luar biasa atau janggal mengenai perkara ini kerana sudahpun diperuntukkan dalam undang-undang. Seorang peguam kanan seperti Datuk Seri Takiyuddin seharusnya lebih arif tentang perkara ini.
Saya juga ingin mengingatkan Datuk Seri Takiyuddin bahawa pada tahun 2019 selepas Tun Richard Malanjum bersara pada 12 April 2019, Tun Tengku Maimun Tuan Mat hanya dilantik beberapa minggu selepas itu pada 2 Mei 2019. Adalah tidak wajar untuk mendakwa bahawa terdapatnya ‘kelewatan’ dalam lantikan Ketua Hakim Negara selepas baru beberapa hari jawatan tersebut kosong.
Pada peringkat ini, semua pihak wajar menghormati peranan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dalam mengisi kekosongan dalam jawatan tertinggi badan Kehakiman.
Apa yang penting adalah kita semua berharap kekosongan itu diisi oleh seorang Ketua Hakim Negara yang dapat meneruskan legasi Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam mempertahankan kebebasan dan integriti badan Kehakiman.