Isu penipuan Haji: TH dan Menteri Agama perlu bertindak segera – Rara

Kenyataan ADUN Ketari, Young Syefura Othman bertarikh 7 Julai 2022:

Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa 400 jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akibat daripada penipuan pihak agensi pengelola jemaah haji. Mangsa yang terkandas ini dijanjikan visa furada untuk menunaikan haji, iaitu visa jemputan khas yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi yang diuruskan sendiri tanpa melibatkan kuota yang telah ditetapkan.

Saya merujuk kepada kenyataan Pengerusi Persatuan Agensi Perlancongan Umrah dan Haji Malaysia, Datuk Seri Razali Mohd Hisham yang dilaporkan di Berita Harian pada 24 Jun 2022, menyatakan bahawa masih belum ada visa furada dikeluarkan bagi tahun ini dan visa furada ini juga tidak dikeluarkan sejak tahun 2019 lagi. Kenyataan beliau adalah susulan daripada kenyataan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman mengenai visa furada ini pada 23 Jun 2022.

Saya amat kecewa dengan pihak yang mengambil kesempatan di atas perkara ini. Samada pihak ini sememangnya tidak tahu akan prosedur jemaah haji yang baru yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi atau sememangnya mempunyai niat jahat untuk menipu para jemaah haji. Apa yang menyentuh hati saya ialah ada segelintir dari para jemaah ini telah menggunakan duit KWSP mereka dengan harapan yang tinggi untuk memenuhi rukun Islam kelima ini.

Saya menyarankan pihak Tabung Haji dan Menteri Hal Ehwal Agama Islam segera bertindak dan merangka satu prosedur dan tatacara mengelola khas yang kini lebih menepati prosedur baru berkaitan dengan jumlah jemaah haji yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan Arab Saudi kepada agensi pengelola jemaah haji. Pihak Tabung Haji juga perlu mengeluarkan senarai agensi pengelola jemaah haji yang sah yang diiktiraf dan dilesenkan oleh Tabung Haji.

Saya difahamkan melalui laporan di Berita Harian, Ketua Rombongan Haji Malaysia (pada ketika laporan ini dilaporkan) menyatakan pihak Tabung Haji sedar ada aktiviti agensi pengelola jemaah haji yang tidak dilesenkan dan tidak diiktiraf Tabung Haji melakukan promosi visa furada. Mengapa tiada tindakan segera diambil terhadap agensi-agensi ini mengikut Akta Tabung Haji seksyen 27(1) bagi membendung penipuan dan kejadian seperti ini berlaku?

Saya juga menyarankan pihak Tabung Haji selepas ini mengadakan hebahan secara meluas mengenai prosedur baru jemaah haji dan umrah dan apa sahaja perkara yang berkaitan dengan visa haji dan umrah. Ini adalah kerana saya pasti ramai yang tidak mengetahui mengenai pembekuan visa furada ini yang telah dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi sejak tahun 2019 lagi. Hebahan yang menyeluruh dan kerap ini sedikit sebanyak dapat mengelakkan rakyat tertipu dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan.

Pihak Tabung Haji perlu mengerti keadaan mereka yang menyimpan hajat besar untuk menunaikan haji ini. Sudah tentu mereka akan segera mengambil peluang yang ditawarkan setelah tidak mendapat slot jemaah haji dari Tabung Haji. Oleh itu pihak Tabung Haji kena sentiasa peka mengenai hal ini.

Saya turut merasakan Tabung Haji kini perlu mempunyai satu jawatankuasa atau jabatan yang dianggotai oleh kakitangan Tabung Haji untuk memantau promosi dan aktiviti yang diiklankan oleh agensi pengelola jemaah haji dan umrah yang tidak diiktiraf oleh mahu pun yang diiktiraf oleh Tabung Haji. Jika kita perhatikan, kes-kes penipuan jemaah haji dan umrah ini kerap berlaku. Melalui penubuhan jawatankuasa atau jabatan khas ini diharap kes-kes penipuan sebegini tidak lagi berlaku di masa hadapan kelak. Kejadian yang berlaku semalam melibatkan jumlah jemaah haji yang besar dan ia sepatutnya tidak berlaku.

Saya berharap kejadian yang berlaku semalam adalah kejadian terakhir para jemaah haji ditipu oleh agensi pengelola jemaah haji. Saya juga berharap satu tindakan tegas dikenakan kepada agensi pengelola jemaah haji ini. Saya mendoakan segala urusan jemaah haji yang telah menjadi mangsa penipuan ini dipermudahkan.

Recommended Posts