Jabatan Pembangunan Kanak-kanak bukti komitmen pelaksanaan manifesto – Hannah

whatsapp image 2023 09 18 at 20.00.35

Penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak yang berkuatkuasa 1 September lalu disifatkan sebagai satu kejayaan merealisasikan janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-15.

Dalam perkongsian di media sosial, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata kejayaan tersebut adalah penambahbaikan yang paling utama dalam rangka melindungi aset masa hadapan negara.

“Kerajaan Perpaduan benar-benar serius dalam usaha menepati janji manifesto.

“Melihat Perdana Menteri memberi keutamaan kepada kebajikan kanak-kanak daripada agensi kanak-kanak sehinggalah kepada memastikan mereka mempunyai tandas yang bersih di sekolah memberi perasaan yang amat menggalakkan,” katanya ketika dihubungi.

whatsapp image 2023 09 18 at 1.21.35 pm

“Ini adalah sebuah penambahbaikan (reform) yang amat besar, dan dicapai dalam jangkamasa beberapa bulan sahaja setelah kita kembali ke Putrajaya,” tambahnya yang juga mantan timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Jabatan Pembangunan Kanak-kanak yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikan Bahagian Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam kenyataan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Nancy Shukri berkata, penubuhan jabatan berkenaan merupakan penyelesaian terbaik dalam menangani isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak.

“Jabatan ini diyakini berupaya memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat, khususnya kanak-kanak berlandaskan kepada lima teras utama, iaitu pencegahan, pembangunan, perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian ke dalam masyarakat,” katanya.

Jabatan itu juga telah meluluskan 169 perjawatan kontrak daripada pelbagai skim perkhidmatan dan gred, selain usaha untuk menggerakkan komuniti yang ditubuhkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, iaitu Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak, Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak, serta pembantu pelindung.

Gagasan penubuhan agensi kanak-kanak bagi memperkukuh polisi perlindungan serta menambah baik pengurusan dan menambah kapasiti pelindung kanak-kanak merupakan agenda utama Iltizam Wanita Pakatan Harapan pada PRU ke-15.

Terlebih dahulu pada Mei 2019, kerajaan Pakatan Harapan telah bercadang untuk menubuhkan agensi ini dengan objektif untuk memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan perlindungan kanak-kanak.

Hannah yang ketika itu Timbalan Menteri berkenaan berkata bahawa Bahagian Kanak-Kanak diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun dibebani dengan pelbagai tanggungjawab.

Recommended Posts