GEORGE TOWN, 22 JUN – Keluarga politik Chua Soi Lek tidak patut berbohong kononnya kerajaan negeri Pulau Pinang mengalami defisit sedangkan pentadbiran Pakatan Rakyat telah mencatatkan rekod lebihan bajet selama tiga tahun berturut sejak 2008.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata Datuk Seri Chua dan anaknya Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Chua Tee Yong, sepatutnya akur dengan kejayaan Pakatan yang mengamalkan pentadbiran cekap, akauntabel dan telus (CAT).
“Keluarga Chua seharusnya mencari kebenaran melalui fakta dan bukannya berbohong dengan memutar-belitkan fakta semata-mata untuk meraih populariti dan menyerang PR.
“PR tidak sempurna dan bersedia untuk memperbaiki setiap kelemahan yang dilakukan tetapi PR berbeza dengan Barisan Nasional kerana PR tidak memanjakan diri dengan rasuah dan kroni,” katanya dalam satu kenyataan.
Chua Tee Yong baru-baru ini mengulangi dakwaan bapanya Soi Lek dengan menuduh kerajaan Pakatan Pulau Pinang mengalami defisit RM108 juta yang kononnya membantutkan pertumbuhan ekonomi negeri tersebut.
“Itu satu pembohongan. Pulau Pinang mempunyai rekod lebihan bajet terbaik dalam tiga tahun sejak kita mengambil alih pentadbiran dari BN,” kata Guan Eng.
Tambah Ahli Parlimen Bagan itu, Pakatan Pulau Pinang telah diakui oleh Laporan Jabatan Audit Negara sebagai negeri terbaik dalam pengurusan kewangan di samping mendapat pujian dari Transparency International kerana serius dalam menentang rasuah.
Dengan mengurangkan kos rasuah dan pembaziran, beliau berkata, kerajaan negeri mampu membelanjakan RM12 juta setahun kepada sekolah agama rakyat, Cina, Tamil, dan sekolah Sikh.
“BN yang memerintah lebih 50 tahun di sini, pernah buat macam apa yang kami buat?” tambah beliau. – Roketkini.com